Mahalini Kembali! ‘Koma Live In Concert’ Gegar Jakarta & Kuala Lumpur 2026
Selepas menyepi demi merawat jiwa yang penat, penyanyi Indonesia, Mahalini, muncul semula dengan gaya yang lebih matang dan penuh sisi baharu. Tidak pulang dengan tangan kosong, pelantun “Sial” itu menghadiahkan peminat sebuah karya peribadi berjudul KOMA sekaligus mengangkat keseluruhan naskhah itu ke pentas eksklusif KOMA Live in Concert.
Konsert solo berskala mega ini dibawakan oleh Antara Suara bersama Star Media Nusantara (SMN), memilih Jakarta dan Kuala Lumpur sebagai dua lokasi pembuka tirai tanda awal kebangkitannya selepas fasa diam yang penuh makna.
KOMA bukan sekadar album, tetapi momen ‘berhenti sekejap’ dalam hidup Mahalini ruang untuk mendengar suara hati, menatal kembali luka lama, dan mencari semula kekuatan untuk melangkah.
Konsep visual konsert pula diinspirasikan daripada elemen warisan Bali, Panca Maha Bhuta, yang diterjemahkan dalam bentuk pentas artistik, visual dramatik dan permainan cahaya yang mencerminkan lima elemen kehidupan tanah, air, api, angin dan ether.
Hasilnya? Sebuah persembahan yang dijanjikan bukan hanya cantik, tetapi sarat jiwa.

Bagi Mahalini, pentas KOMA Live adalah momen yang sangat peribadi.
“Selepas mengambil masa untuk diri sendiri, saya kembali dengan cerita-cerita yang menggambarkan apa yang saya lalui. KOMA adalah refleksi fasa sunyi dalam hidup saya… tentang memahami semula makna setiap rasa dan proses untuk bangkit. Konsert ini hadiah saya untuk semua yang setia menunggu”, ujarnya sewaktu sidang media secara eksklusif menerusi Zoom yang telah berlangsung di FX Sudirman Jakarta pada 26 November lalu.
Dengan susunan muzik baharu dan produksi pentas yang disusun rapi, KOMA Live dijangka menjadi persembahan paling intim dalam karier penyanyi berusia 24 tahun itu.

CEO Antara Suara, Andri Verraning Ayu, menyifatkan penganjuran KOMA Live sebagai antara projek paling signifikan syarikat itu.
“Mahalini artis yang berani jujur melalui karyanya. KOMA Live bukan hanya konsert, ia adalah perjalanan emosi yang ingin kami kongsi dengan penonton.”
Ayu turut menegaskan bahawa pemilihan Kuala Lumpur sebagai hentian kedua bukan keputusan biasa.
“Langkah membawa konsert ini ke Malaysia adalah strategi memperluas ruang untuk pemuzik Indonesia menembusi pasaran serantau. Melalui Antara Suara Malaysia dan kerjasama bersama Beatus Live, kami mahu mewujudkan ekosistem muzik yang lebih kukuh antara dua negara.”
Pengurus peribadi Mahalini yang juga Music Manager SMN, Biondy Akbar, mengakui perjalanan penyanyi itu bukan mudah.
“Ini bukan sekadar pentas. Ini perjalanan seorang artis yang membesar, merenung diri dan kembali dengan tenaga baharu. Kami percaya konsert ini bakal menjadi antara pencapaian terbesar dalam kerjayanya.”

Mahalini terlebih dahulu akan mengadakan persembahan di Istora Senayan Jakarta pada 14 Februari 2026, selepas itu beliau akan mengadakan konsert di Malaysia pada 2 Mei 2026 yang akan berlangsung di Idea Live Arena Kuala Lumpur.
Pra-Jualan tiket akan bermula pada 1 Disember 2025 (Eksklusif untuk yang menyertai Pradapat 10–14 November) manakala Jualan Umum pada 2 Disember 2025 melalui komaliveinconcert.com
(bergantung kepada baki selepas Pra-Jualan)
Untuk info terkini: @antara.suara & @antarasuara_my di Instagram.
