Magika Studios Nadi Baharu Pelancongan Hijau Selangor
Taman tema ekopelancongan dan didik hibur, Magika Studios, bakal menjadi nadi baharu pelancongan hijau Selangor apabila ia dijangka siap pada pertengahan tahun depan di Mangrove Point, Pelabuhan Klang.
Dibangunkan di kawasan seluas 28.32 hektar, projek itu adalah kerjasama antara Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) selaku pemaju Projek Selangor Maritime Gateway (SMG) bersama KRU Entertainment Sdn Bhd (KRUESB), dengan peruntukan bersama sebanyak RM5 juta.
Pengarah Urusan LLSB, Syaiful Azmen Nordin, berkata pembangunan yang bermula Oktober lalu itu bukan sekadar menambah tarikan baharu, sebaliknya memperkenalkan konsep hiburan berteraskan kelestarian dan pendidikan alam sekitar.

“Magika Studios menampilkan keunikan hutan paya bakau dan mempromosikan pemeliharaan Sungai Klang melalui teknologi, penceritaan kreatif dan didik hibur. Ini selaras dengan inisiatif ESG di bawah SMG,” katanya pada majlis menandatangani MoU antara LLSB dan KRUESB di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), pada 29 November lalu.

Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KRUESB, Datuk Norman Abdul Halim.
Menurut Syaiful, projek itu memberi fokus kepada pembangunan mampan tanpa menjejaskan ekosistem semula jadi, selain membuktikan Sungai Klang kini kembali berfungsi sebagai aset pelancongan dan ekonomi hijau.
Tarikan yang bakal ditawarkan termasuk persembahan cahaya imersif, animatronics, serta paparan audio visual yang menghidupkan watak dongeng tempatan dengan mesej pemeliharaan alam sekitar.
“Pengunjung turut berpeluang menikmati lawatan berpandu sepanjang satu kilometer laluan pejalan kaki di hutan paya bakau serta mengikuti aktiviti sungai dan air untuk melihat sendiri hidupan liar di kawasan itu,” katanya.

Dengan hanya 30 minit dari Kuala Lumpur, Magika Studios dijangka menjadi antara tarikan utama Selangor menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026. Norman berkata projek itu memberi peluang kepada KRUESB mengadaptasi pengalaman sinematik filem Magika, yang pernah meraih pelbagai anugerah, ke dalam bentuk tarikan taman tema yang memberi manfaat hiburan dan pengetahuan kepada masyarakat
