October 1, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Mafidz Menang Lagu Terbaik Anugerah Lagu Indie 2024 Dengan “Senandung”

Spread the love

Kumpulan rock alternatif tempatan, Mafidz, muncul sebagai pemenang utama Anugerah Lagu Indie (ALI) 2024 apabila lagu mereka berjudul “Senandung” dinobatkan sebagai Lagu Terbaik serta Lagu Rock Terbaik pada malam kemuncak yang berlangsung di JioSpace, Damansara Perdana, pada 27 Julai lalu.

Acara anugerah tahunan yang bersiaran secara langsung menerusi saluran YouTube Anugerah Lagu Indie itu menyaksikan 15 finalis daripada pelbagai genre mempersembahkan karya masing-masing dalam saingan sengit yang berlangsung selama tiga jam setengah.

Sejak penganjuran sulungnya pada tahun 2020, ALI kekal sebagai platform penting yang meraikan kepelbagaian muzik bebas tempatan tanpa mengira genre dan bahasa. Edisi kelima ini menampilkan tiga kategori utama iaitu Pop, Hip Hop dan Rock, selain anugerah khas seperti Persembahan Terbaik dan Lagu Terpaling Platinum Carta Indie Kita.

Persembahan pembukaan dimulakan dengan medley bertenaga oleh Kyoto Protocol sebelum diteruskan dengan kemunculan khas Seven Collar T-Shirt yang menghiburkan penonton dengan lagu-lagu popular mereka seperti “Fragile”, “Lines” dan “Lucky You”.

Senarai Pemenang ALI 2024:

  • Lagu Terbaik: Mafidz – “Senandung”
  • Lagu Rock Terbaik: Mafidz – “Senandung”
  • Lagu Pop Terbaik: Odelia Tirza – “TV SHOW”
  • Lagu Hip Hop Terbaik: B-Heart – “Shh Shh”
  • Persembahan Terbaik: Umar Akmal – “Dewasa Yang Ku Impikan”
  • Lagu Terpaling Platinum Carta Indie Kita: Chylypdy – “Kelabu 2024”

Anugerah Lagu Terbaik disampaikan oleh Taja (Meet Uncle Hussain), manakala Anugerah Lagu Rock Terbaik disampaikan oleh Emmett Ishak (Butterfingers). Pemenang Lagu Pop Terbaik dan Lagu Hip Hop Terbaik pula menerima anugerah masing-masing daripada Zee Avi dan Roshan Jamrock.

Umar Akmal turut mencuri tumpuan apabila dinobatkan sebagai pemenang Persembahan Terbaik hasil kombinasi markah juri profesional (70%) dan undian awam (30%).

Sementara itu, anugerah khas Lagu Terpaling Platinum Carta Indie Kita menjadi milik Chylypdy menerusi lagu “Kelabu 2024”, menewaskan dua calon lain iaitu “Matahari” (Empty Page) dan “Demi Cinta” (Nastia).

Panel juri bagi ALI 2024 diketuai oleh Wing Meng, serta dibarisi tokoh-tokoh industri muzik tanah air seperti AG Coco, Irena Taib, Leaism, Luca Sickta, Roshan Jamrock, Prof Madya Dr. Muhammad Sayyid dan Loy Ekzan.

ALI 2024 disokong oleh Kementerian Belia dan Sukan, Gaya Hidup Rakan Muda dan beberapa penaja utama termasuk Honda Motorcycle Malaysia sebagai motosikal rasmi, JioSpace sebagai lokasi rasmi, dan Rakita 107.9 sebagai radio rasmi. Penajaan busana hos pula ditaja oleh Hikari Riders dan Converse.

Turut hadir memeriahkan malam anugerah ialah YB Adam Adli, Tuju, Loca B, Shamaine Othman, Sharifah Amani serta rakan media strategik seperti Malaysia Tribune, Medialah, Music Addicts Malaysia, Kaypoh Media, Malaysia Music Scene dan Writer’s Daily.

Untuk maklumat lanjut, layari laman rasmi ALI di www.anugerahlaguindie.com.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page