Maclemore Antara Barisan Artis Yang Bakal Menghangatkan Konsert After Race Fest
Penyanyi rap Macklemore, 41, dari Amerika Syarikat (AS) antara yang bakal memeriahkan konsert After Race Fest yang berlangsung di Helipad Litar Antarabangsa Petronas Sepang (SIC), pada 3 November nanti.
Pengarah Urusan HIFIVE Entertainment selaku penganjur, Sean Pereira berkata konsert itu sebagai hiburan istimewa buat pengunjung yang hadir menonton perlumbaan MotoGPTM.
“Tak lengkap rasanya jika MotoGPTM ditutup tanpa ada sambutan untuk meraikannya dalam kalangan pengunjung. Justeru, kami akan membawakan After Race Fest yang bukan sekadar berbentuk hiburan.
“Ia bertujuan meraikan pengunjung dari seluruh dunia dengan pelbagai aktiviti termasuk persembahan dron dan bunga api sebagai simbolik istimewa kejayaan acara terbabit,” ujarnya pada sidang media pengumuman acara itu, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), pada 20 Ogos lalu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Azhan Shafriman Hanif turut teruja dengan penganjuran konsert itu sempena ulang tahun ke-25 pembukaan lokasi ikonik itu.
“Kami sangat teruja sudah 25 tahun sejak membuka pintu pada 1999. Kami rakamkan setinggi penghargaan kepada HIFIVE Entertainment kerana berganding bahu dengan kami jadikan sambutan ini lebih meriah.
“Kami mengalu-alukan semua untuk turut serta saksikan perlumbaan MotoGPTM dan menikmati konsert sebelum pulang rumah. Kami tawarkan harga eksklusif untuk pembelian awal bermula hari ini hingga 31 Ogos nanti,” katanya.
Turut menghangatkan acara itu adalah kumpulan rock AS yang popular pada era 1990-an, Smash Mouth, Feel Koplo, De Fam, Nidji dan 6ixth Sense untuk pengumuman fasa pertama.
Menyusul, beberapa lagi artis lain akan diumumkan untuk fasa kedua pada satu tarikh nanti.
Penganjur mensasarkan sekitar 10,000 hingga 15,000 penonton untuk menghadiri konsert terbabit. Keutamaan adalah kepada pembeli tiket perlumbaan MotoGPTM.