February 22, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Lucky Joe Kembali Dengan ‘Senyum Raya’ Selepas 13 Tahun

Spread the love

Single Baharu Sempena Ulang Tahun Ke-45 Tanda Kemunculan Semula Dalam Industri Muzik

Selepas hampir 13 tahun menyepi daripada dunia nyanyian, penyanyi dan pencipta lagu, Lucky Joe kembali mewarnai industri muzik menerusi pelancaran single raya terbaharu berjudul Senyum Raya, yang dilancarkan secara rasmi pada 21 Februari lalu.

Kemunculan semula ini bertepatan dengan ulang tahun kelahirannya yang ke-45 pada tahun ini, sekali gus menjadikan karya berkenaan sebagai hadiah istimewa buat diri sendiri selepas sekian lama tidak tampil dengan lagu baharu sebagai penyanyi.

Lucky Joe memulakan perjalanan seni sekitar tahun 2000 hingga 2012 dengan menghasilkan sembilan single merangkumi genre pop, dangdut dan poco-poco sebelum mengambil keputusan untuk berehat daripada dunia nyanyian.

Sepanjang tempoh itu, beliau lebih aktif di belakang tabir sebagai pengurus artis serta penulis skrip drama televisyen, drama TikTok dan sitkom, selain turut terlibat dalam bidang hartanah serta pengurusan penerbitan acara.

Walaupun tidak lagi aktif di pentas nyanyian, sentuhan kreatifnya tidak pernah terhenti apabila terus mencipta lagu untuk beberapa label rakaman, malah karya ciptaannya pernah dirakam oleh artis terkenal meskipun namanya sebagai pencipta tidak selalu diketengahkan.

Menurut Lucky Joe, lagu Senyum Raya dihasilkan dalam tempoh hanya 20 hari termasuk proses susunan instrumen muzik dengan pendekatan yang lebih ringkas agar mudah diterima oleh semua lapisan masyarakat.

“Ini adalah hadiah untuk diri saya dan juga untuk semua yang merindukan warna muzik yang berbeza di bulan Ramadan dan Syawal. ‘Senyum Raya’ adalah tanda saya kembali berkarya sebagai penyanyi dan pencipta lagu,” katanya.

Lagu berkonsepkan pop itu membawa mesej keceriaan, keikhlasan memohon maaf serta kehangatan menyambut Aidilfitri bersama keluarga di kampung halaman, di samping mengangkat nilai kasih sayang dan kemaafan sempena hari kemenangan.

Single ini diterbitkan oleh Mahardika Production dengan susunan muzik oleh Seefar di bawah label independen DragonBeat Records, selain diedarkan oleh Nadayana Music sebagai penerbit muzik serta Rentak Sejuta sebagai rakan promosi.

Dengan semangat baharu dan pengalaman luas di dalam serta di luar pentas, Lucky Joe kini bersedia untuk kembali aktif dalam industri muzik menerusi karya yang dekat di hati masyarakat.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page