Luahan Galau Hati Aisha Retno Dalam “Ternoktah”.
Oleh: Sakka E
“Mencintai tidak bermakna memiliki”, pepatah yang menjadi prinsip kisah cinta dalam lirik lagu “Ternoktah” single terbaru dari Aisha Retno, artis muda yang berbakat besar bukan sahaja dalam bidang nyanyian bahkan dalam penulisan lirik, gubahan lagu, lakonan dan yang terbaru beliau cuba mengintai peluang dalam bidang pengacaraan.
Bersandarkan kisah tentang situasi semasa dalam pertalian cinta, keretakkan perhubungan dan kisah – kisah sedih perpisahan yang melibatkan selebriti – selebriti terkemuka tanah air, malah kisah keperitan yang dialami sendiri oleh Aisha, maka lahirlah “Ternoktah”.
“Lagu ini ada kena-mengena dengan perjalanan cerita Aisha selepas berjumpa dengan beberapa jejaka tahun ini”, ujar Aisha ketika ditemui media pada pelancaran lagu terbaharunya yang diadakan di Elephant Resort, 1 Utama Shopping Centre.
Sementara itu, ketika ditanya adakah dirinya berada dalam fasa untuk ‘move on’ kerana mengenakan imej berambut pendek, pelantun lagu ‘Sutera’ itu mengakui dia kini berada dalam fasa tersebut.
“Sejujurnya saya potong rambut adalah sebagai tanda yang saya sedang berada dalam fasa ‘move on’ dengan apa yang telah berlaku, saya tak nafikan perkara itu”,
“Dalam masa yang sama, ia bukanlah ‘move on’ dari percintaan semata-mata tapi ia juga boleh diibaratkan sebagai satu ‘refreshment’ untuk diri saya memandangkan kita sudah pun masuk ke suku tahun yang terakhir”, ujarnya
Lagu yang menceritakan kisah perasaan cinta yang sudah berakhir, yang telah tawar hatinya dan lantas harus melepaskan, memutuskan hubungan dan berpisah, walaupun berat, namun, hakikatnya cinta telah menemui noktahnya. Kekecewaan adalah antara emosi perit yang menjadi liku – liku duri ranjau dalam setiap jiwa – jiwa yang jatuh cinta dan Aisha sendiri adalah antara jiwa – jiwa yang melalui pengalaman tersebut lantas mengajak para pendengar merenung, mendalami dan menghayati erti cinta yang sebenar.
“Aisha sejujurnya sangat mengidolakan Olivia Rodrigo, Taylor Swift dari segi penulisan lagu mereka dan mereka sangat berani untuk menghasilkan lagu untuk bekas-bekas kekasih mereka”,
“Kalau saya, saya masih lagi tidak berani untuk menyebut siapakah jejaka tersebut untuk lagi yang dihasilkan. Saya memilih untuk berkias tapi saya tak nafikan lagu ‘Ternoktah’ ini ditujukan kepada jejaka yang pernah mempunyai kena mengena dengan kisah percintaan Aisha”, jelasnya
Nukilan kisah galau hati ini mula digarap pada sekitar November 2022 dengan kolaborasi bersama penulis lirik Hanis Rafi dan Firdaus Rahmat dan ianya bukan sesuatu yang mudah kerana Aisha amat menitik beratkan tentang mesej yang hendak disampaikan dan tahap penghayatan haruslah meresapi keseluruh jiwa para pendengar. Ianya juga sekaligus menjadi pengalaman yang amat mencabar kredibiliti beliau dalam penghasilan sesebuah lagu.
Bernaung dibawah Sony Music Entertainment Malaysia Sdn Bhd, Syarikat gergasi dalam arena hiburan diperingkat global ini yakin, lagu “Ternoktah” amat relevan dengan peredaran dalam pasaran muzik tempatan semasa dan ianya akan mudah diterima oleh para pendengar yang mengenali Aisha Retno dan juga para pendengar yang baru mengenali beliau.
Lagu ini juga akan dilancarkan bersama muzik video yang juga menampilkan bakat Aisha sebagai pelakon disamping pelakon pelakon lain yang menjayakan klip video ini.
Disamping lagu “Ternoktah”, Aishah juga dalam rangka menyiapkan beberapa lagu lain yang bakal dimuatkan dalam mini album yang akan dilancarkan dalam masa terdekat pada suatu tarikh yang akan diumumkan.
Harapan Aisha sudah pastinya lagu “Ternoktah” ini mendapat sambutan dan diterima oleh para pendengar, malah dijadikan sumber inspirasi bagi jiwa – jiwa yang sedang asyik bercinta, yang sedang diduga gelora cinta dan juga yang kecewa dalam percintaan agar terus teguh, terus matang dan terus kehadapan kerana di sebalik kegelapan akan timbul sirna cahaya bahagia.
Lagu yang sangat istimewa ini akan secara rasminya dapat didengar oleh para peminat Aisha bermula pada 22 September 2023 menerusi semua platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, Youtube dan Youtube Music.