November 23, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

LOOP Music Festival: Perayaan Muzik Artis Ternama Tempatan

Spread the love

Oleh: Zizi Hashim

Dikuasakan oleh AirAsia dan Tune Group, bergabung tenaga mempersembahkan festival muzik LOOP yang dinanti-nantikan. Sebuah acara skala besar yang meraikan perjalanan muzik merentas masa dan zaman. Perayaan muzik universal ini menghimpunkan lagenda-lagenda ikonik negara seiring dengan para pendominasi carta-carta muzik tempatan.

Tanggal 11 Mei 2024 telah dipilih, berlokasikan Axiata Arena Bukit Jalil, menjanjikan satu malam merangkumi kepelbagaian genre muzik yang menakjubkan. Barisan artis-artis ternama yang tampil tidak hanya dengan satu genre, bakal diserikan dengan nuansa pop rancak, balada melankolik, gegaran rock keras, kelembutan tradisi irama Malaysia, keunikan karya indie sehinggalah keasyikan goyang dangdut dari seawal jam 2 petang sehingga lewat malam.

Nama-nama besar yang menduduki carta teratas seperti Datuk Sri Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, XPDC, Masdo, Imsoniacks, Amelina, Noraniza Idris dan Sufian Suhaimi akan berkongsi dinamika satu pentas bersama artis-artis baru yang kian viral masakini. Mereka ialah Aisha Retno, Ronnie Hussein, Nadeera Zaini, Usop, Lucidrari, Disko Santan (Codogg & Awyn) dan Arish Mikael.

Festival muzik LOOP ini dibawakan secara eksklusif oleh RJ Sales Sdn Bhd akan menjadi titik tumpuan bagi peminat muzik yang ingin menghayati nostalgia dan inovasi dalam satu jeyarawa yang epik. Selain persembahan konsert, para penonton juga boleh menyertai aktiviti-aktiviti lain yang disediakan oleh anak syarikat Tune Group iaitu Tune Talk dan Tune Protect serta hidangan masakan yang lazat daripada Santan. Aktivit menarik seperti AirAsia Ride akan memberi peluang kepada penonton memenangi tiket penerbangan komplimentari dari AirAsia.

“Fenomena penganjuran festival muzik kini menjadi sangat trending dan demanding. Adalah amat penting untuk merancang dengan teliti bagi memastikan kelangsungannya dalam jangka masa panjang.” Ujar penerbit LOOP Music Fest, Rosix Omar. “Kami pilih artis berdasarkan tema dan konsep LOOP Music Fest itu sendiri. Mewakili era dan genre masing-masing, malah mendominasi carta muzik tanahair. Setiap yang terpilih memiliki aura karisma, pengaruh yang kuat untuk menarik crowd datang dan memberi impak yang berkekalan.”

Oleh itu, LOOP Music Fest bukanlah sekadar festival muzik ‘indoor’ biasa, tetapi bakal menjadi sebuah peristiwa yang akan mengumpulkan lebih dari 11,000 peminat muzik tempatan dalam satu tempat. Rosix berkata lagi, beliau sangat percaya bahawa acara ini akan menjadi penanda aras untuk komuniti muzik tempatan serta menjadi platform yang unggul dalam memperkenalkan bakat-bakat baru. “Dengan penuh antusias, kami berusaha untuk menyajikan persembahan dan pengalaman muzik terbaik dengan penyatuan artis-artis hebat di atas satu pentas.”

Turut hadir pada petang sidang media yang bertempat di Hotel Sheraton Imperial KL adalah Pengerusi Eksekutif Capital A, Datuk Kamarudin Meranun yang disifatkan oleh Rosix sebagai orang kuat yang merealisasikan festival ini. “Muzik sentiasa menjadi sumber inspirasi dan kegembiraan buat saya. Ia melangkaui sempadan, menyatukan masyarakat dan mempunya kuasa untuk membangkitkan emosi.” hujah Datuk Kamarudin ketika berucap di atas pentas. “Sebagai seorang yang telah mendalami industri muzik selama beberapa dekad, saya sangat teruja untuk melihat AirAsia dan Tune Group menerajui Festival Muzik LOOP ini.”

LOOP Music Fest disifatkan oleh Datuk Kamarudin sebagai sbuah acara yang bukan sahaja meraikan kepelbagaian muzik tetapi juga menyatukan orang ramai dari segenap lapisan masyarakat. “Festival ini merangkumi semangat inovasi dan kerjasama yang mentakrif kedua-dua syarikat, dan saya tidak sabar untuk menyaksikan keajaiban berlaku di Festival Muzik 2024 ini.”

Menokok tambah sedikit lagi dari pernyataan Datuk, Rosix berkata “Dengan kehadiran barisan artis yang mengkagumkan dan durasi persembahan yang telah diatur, setiap artis akan beraksi sekurang-kurangnya 30 minit, kami yakin bahawa nilai tiket sungguh berbaloi. Lagipula festival ini diadakan di lokasi yang memberi keselesaan kepada hadirin.”

Petang itu dimeriahkan lagi dengan persembahan akustik penuh mersik dari bakat baru yang hebat, Nadeera Zaini diiringi petikan gitar mantap oleh Arif Izo (anak kepada Izo XPDC). Seleksi medley lagu-lagu dari artis yang bakal beraksi pada festival itu nanti didendangkan silih berganti, memberi vibes keterujaan dan thrill yang diantisipasikan kelak. Jom kita berfiesta bersama, catat tanggal 11 Mei 2024, jangan ketinggalan turut serta.

Tiket-tiket berharga RM168 (Black Zone), RM178 (White Zone), RM258 (Fly Zone), RM278 (Red Zone) dan RM478 (Tune Zone) telah mulai dijual di ticket2u.com


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page