September 16, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Liza Hanim Kembali dengan Balada Terbaru, “Perisai Cinta”

2 min read
Spread the love

Setelah kejayaan konsert sulungnya beberapa bulan lalu, penyanyi tersohor Liza Hanim kembali menggegarkan industri muzik tanah air dengan single terbaru berjudul “Perisai Cinta.” Lagu balada yang penuh emosi ini turut menjadi runut bunyi asli untuk drama bersiri popular, Ternyata Sebuah Bahagia, yang dibintangi oleh Zamarul Hisham, Sarimah Ibrahim, dan Elvina Mohamad.

Liza Hanim, yang terkenal dengan kehebatannya membawa lagu bergenre balada, berkongsi makna mendalam di sebalik lagu tersebut. Menurutnya, “Perisai Cinta” bukan sekadar suara hati watak utama, Janice (lakonan Sarimah Ibrahim), tetapi juga membawa mesej ketuhanan yang menyentuh hati.

“Lagu ini pada dasarnya menceritakan tentang pergolakan jiwa watak utama yang bergantung pada seorang lelaki untuk sokongan dan harapan. Namun, akhirnya dia menyedari bahawa hanya Allah yang layak dijadikan tempat bergantung, bukan manusia biasa yang mudah lalai,” jelas Liza.

Lagu ini merupakan hasil kolaborasi pertamanya dengan pencipta lagu Omar K dan penulis lirik Shazriq Azeman. Liza mengakui bahawa dia sudah lama menantikan peluang untuk bekerja dengan Omar K, yang muziknya sering seiring dengan arus muzik moden. “Saya sangat gembira dapat bekerjasama dengan Omar K dan Shazriq. Proses rakaman berjalan dengan sangat lancar, dan dalam masa 45 minit sahaja, semuanya selesai,” tambah Liza.

Dengan harapan besar, Liza mengimpikan agar lagu “Perisai Cinta” akan diterima baik oleh pendengar, baik peminat lama mahupun yang baru. “Saya harap lagu ini akan menyentuh hati semua orang dan mendapat tempat di jiwa pendengar,” ujarnya.

Lagu Perisai Cinta akan tersedia untuk dimuat turun di iTunes serta boleh didengari melalui platform digital seperti Apple Music, Spotify, YouTube, dan banyak lagi.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page