Lipanbara Kembali Berbisa
Demi Peminat, Lipanbara Bakal Adakan Showcase ‘Serangan Kilat’ Pada 15 Februari Ini di Warisan Hall, Sijangkang
Kredit Foto: PaPaDin
Kali terakhir kumpulan Lipanbara mengadakan persembahan pentas adalah pada tahun 1994, selepas itu kesemua ahli kumpulan memilih haluan masing-masing.
Selepas 31 tahun vakum daripada radar persada seni, kumpulan yang popular dengan lagu Seirama Aman Sentosa, Moga Sempurna, Blues Tongkat Ali dan sebagainya kembali ‘menjenamakan’ Lipanbara dalam wadah yang lebih segar.
Sengat Lipanbara kini Lebih berbisa dengan kehadiran Zaff (Gitar), Labut (Dram), Ham (Bass), Ali (Kibordis) dan Oney yang masih kekal diposisi vokal. Lantaran itu sebuah showcase eksklusif bakal berlangsung di Warisan Hall, Sijangkang pada 15 Februari ini.
“Showcase ini adalah titik mula untuk Lipanbara kembali aktif di persada seni selain memperkenalkan anggota baharu yang menggalas tugas berat untuk memastikan agar nama Lipanbara itu terus hidup”, ujar Ekmal Md Nor, selaku Pengarah Ultimate Media ketika sidang media pengumuman showcase berkenaan di Kuala Lumpur pada 22 Januari lalu.
“Saya percaya dengan keunikan yang ada pada Lipanbara, membolehkan mereka untuk bergerak jauh. Zaff misalnya memiliki kemahiran bermain gitar dengan 7 tali begitu juga Ham dengan skill 6 strings bassnya”, tambahnya
Showcase anjuran Ultimate Media itu turut mengangkat salah sebuah lagu yang terdapat dalam album Lipanbara, Serangan Kilat sekaligus mencerminkan evolusi muzik bawaan Lipanbara yang lebih berorentasikan Heavy Hard Rock.
“Showcase ini adalah sebagai menjawab persoalan peminat yang sering bertanya saya, bila Lipanbara nak kembali?, bila Lipanbara nak buat show?”, ujar Oney selaku vokalis
“Saya juga percaya ramai peminat tertanya-tanya kenapa tidak tampil dengan anggota asal. Sebelum saya membuat keputusan untuk meneruskan legasi Lipanbara yang di perjuangkan anggota asal , saya terlebih dahulu meminta keizinan daripada Papa Lote (individu yang memegang hak Lipanbara)”,
“Alhamdulillah beliau bersetuju dan membenarkan saya untuk menggunakan nama Lipanbara. Bertitik tolak daripada itu lah saya mendapat semangat untuk mencari line up baru. Peminat juga faham bahawa muzik kami agak keras malah ramai peminat lebih mengenali kami menerusi lagu-lagu fast berbanding lagu-lagu slow”, tambah Oney
Oney turut berkongsi keadaan kesihatannya yang semakin baik setelah di serang penyakit jantung pada tahun 2023.
“Alhamdulillah, doktor telah mengesahkan bahawa saya telah pulih daripada penyakit jantung. Sungguhpun begitu saya tetap mengambil pendekatan berhati-hati, untuk showcase ini saya telah membuat ‘ubahsuai’ kepada beberapa lagu agar ianya sesuai dengan vokal saya”, katanya
Sementara itu, Labut selaku pemain dram berharap agar peminat dapat menerima dirinya dan rakan-rakan lain yang kini menggalas jenama ‘Lipanbara’.
“Sebelum ini saya banyak melakukan kerja-kerja di belakang tabir tetapi kini berada di hadapan para penonton, rasa gementar itu tetap wujud apatah lagi membawa nama Lipanbara yang telah branding”, ujarnya
Sebanyak 15 buah lagu termasuk sebuah lagu saduran bakal dipersembahkan Lipanbara dalam showcase ‘Semangat Kilat’. Peminat boleh mendapatkan tiket yang berharga RM50 di talian 0126717573