October 22, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Lima Pemuzik Ternama Indonesia Bersatu di Idea Live Arena

Spread the love

Kolaborasi istimewa lima pemuzik tersohor Indonesia bakal menggamatkan Idea Live Arena, Kuala Lumpur pada 5 Disember ini apabila Tulus, Kunto Aji, Sal Priadi, Dere dan Idgitaf tampil menerusi Tur SAMA SAMA, satu persembahan yang menggabungkan keunikan suara dan gaya muzik masing-masing dalam format yang jarang dipersembahkan di pentas tempatan.

Tur ini merupakan kesinambungan siri jelajah di empat bandar utama Indonesia — Bandung, Surabaya, Yogyakarta dan Bogor — yang mencatatkan kejayaan besar dengan sambutan luar jangka daripada peminat. Kuala Lumpur menjadi lokasi antarabangsa pertama dan kota kelima dalam rangkaian persembahan yang menghimpunkan lima figura berpengaruh dalam dunia muzik Nusantara.

Penganjuran Tur SAMA SAMA di Malaysia direalisasikan oleh PT Expo Indonesia Jaya (Expoindo), Thrive, dan Tiga Dua Satu, yang berhasrat membawa pengalaman muzik lintas generasi kepada khalayak tempatan. Idea Live Arena dipilih sebagai lokasi rasmi kerana fasilitinya yang moden dan mampu menampung skala produksi besar yang menuntut kualiti audio serta visual bertaraf antarabangsa.

Tur ini menampilkan konsep persembahan dinamik yang meliputi susunan lagu dalam bentuk solo, duet, trio hingga kuintet. Setiap artis akan mempersembahkan lagu sendiri di samping membawakan versi baharu lagu rakan kolaborasi mereka, menjadikan keseluruhan persembahan lebih eksklusif dan tidak dapat disaksikan di mana-mana platform lain.

Bagi memenuhi permintaan tinggi, jualan tiket pra-jualan (presale) yang dibuka pada 29 September lalu dilanjutkan dari 19 Oktober hingga 2 November 2025. Harga tiket bermula RM228, dengan 11 kategori disediakan — Bronze, Crystal, Silver, Diamond, Gold, Platinum, Ruby, Sapphire, Emerald, Emerald Extra dan Group Suite. Tiket boleh diperoleh melalui BBO Events dan laman rasmi samasamatur.com.

Tur SAMA SAMA turut mendapat sokongan daripada Tourism Malaysia dan Cuti-Cuti Malaysia, dengan myBCA sebagai bank rasmi, ERA, Sinar, dan THR Gegar sebagai radio rasmi, serta Astro Gempak sebagai rakan digital rasmi.

Acara ini dijangka menjadi antara persembahan paling dinantikan menjelang penghujung tahun, bukan sahaja kerana menghimpunkan barisan artis prolifik, tetapi juga kerana menampilkan konsep kolaborasi yang jarang sekali dipersembahkan secara langsung.

Maklumat lanjut dan pengumuman terkini mengenai Tur SAMA SAMA boleh diperoleh menerusi platform media sosial rasmi @samasamatur dan @thriveevents_my.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page