September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

‘Lelaki Ini’ Manjakan Peminat Dengan Teddy Bear

4 min read
Spread the love

Oleh: Zizi Hashim

Bibit-bibit manis yang tercipta secara eksklusif dalam intimasi tahap paling ekstrim melalui pertunjukan mahakarya seorang Anuar Zain petang 17 Februari yang lalu, masih bermain-main dalam kotak ingatan. Tidak boleh move-on dari konsert yang sebelumnya di Stadium Malawati, lalu dipersembahkan ‘Anuar Zain 40 Exclusive Up Close & Personal’ sebagai kesinambungan. Konon nya bakal move-on kah? Rasanya tidak, semakin angau lagi dibuatnya. Parah!

Tidak pernah puas, meski persembahan ketulusan hati Anuar Zain berdurasi 2 jam 30 minit itu dipenuhi dengan selfie di sana sini dan acara baling lebih 250 Teddy Bear. Anuar Zain meraikan 4 dekad lamanya beliau di dalam industri muzik tanahair. Jangkamasa yang sebegitu lama menghimpun pengalaman, perjalanan suka duka dan jerih payah anak seni pastinya membuatkan ramai begitu teruja dan turut tidak sabar. Memulakan karier seninya seawal usia 14 tahun dengan populariti “Kain Pelikat”, sehingga kini 40 tahun kemudian, nama beliau masih disebut-sebut peminat setia yang sanggup berkorban kasih demi meraikan bersama-sama.

Bertempat di Jiospace Petaling Jaya berkapasiti 1500 orang, majoriti nya peminat wanita, petang 17 Februari menyaksikan medan perebutan Teddy Bear yang havoc dan happening. Full house! Meriah habis! Anuar Zain memukau audiens bukan sahaja dengan kemantapan vokal dan lagu-lagu malar segar beliau, malah saya turut menyelami sisi lain beliau iaitu seorang yang sangat peramah dan penuh kasih sayang. Semua yang hadir tidak menafikan terkesan dengan impak keabadian cinta yang menyelubungi seluruh ruangan Jiospace.

Berdirinya Anuar Zain di tengah pentas, dengan jaket rona merah jambu, santai bercelana denim, sesuatu yang jarang-jarang dilihat. Ini kerana beliau sering tampil segak memakai suit blazer lengkap. Kali ini, memilih untuk tampil berbeza dan bersahaja, Anuar Zain memulakan persembahan dengan lagu “Kau lah Yang Satu” sebagai pembuka tirai. Jerit-pekik kedengaran dari segenap ruang, aura ‘lelaki ini’ begitu mempesonakan membuat audiens semakin resah gelisah sebaik sahaja lagu “Sesucinya Cintamu” dilantunkan.

Hubungan akrab yang terbina antara sang penyanyi dan peminat setia adalah sesuatu yang sangat dijaga rapi oleh bintang kesayangan ramai ini. Mahukan setiap yang hadir merasa sama rata, Anuar Zain sentiasa mahu memberi ‘lebih’ atas hadiah kesetiaan mereka. Keriuhan berebut Teddy Bear pasti kedengaran di perantaraan lagu yang dibawakan. Rendisi “Permata”  dan “Suria & Siarra berkumandang sebelum Anuar Zain sekali lagi sporting turun dari pentas untuk melayan peminat-peminat berswafoto.

Suasana romantis dapat dirasai sampai ke lubuk jiwa, bahkan setiapkali melihat Anuar Zain memberi layanan istimewa pada peminat-peminat yang lain, terbit rasa cemburu. Tipulah kalau tidak, namun masing-masing redha dan pasrah menunggu giliran didekati lelaki pujaan ramai itu. Sentiasa melempar senyum manis dan interaksi penuh kasih, Anuar Zain memberikan vibes kasih sayang paling cemerlang pada petang yang mencipta memori indah itu. “Cinta Harus Memiliki” menyambung emosi yang menghantui sang pemilik hati.

Saya membesar dengan lagu-lagu Anuar Zain, maka setiap lagu membuatkan saya cukup terhibur dan sing-along. Pendekatan yang diambil oleh seorang Anuar Zain ini adalah dipuji dan sangat dikagumi kerana merasa lebih mesra dan lebih intimasi bersama peminat. Kita dapat rasa betapa ‘full of love”  lelaki ini dan tidak segan silu untuk menari dan menyanyi bersama beliau apabila diajak berdiri dan menikmati muziknya. Lagu kegemaran ramai “Keabadian Cinta” dialunkan, semua terkesima dan larut dalam emosi cinta yang mengasyikan.

Anuar Zain yang sengaja berbaring di antara 2 teddy bear besar di atas pentas ketika menyanyi, sempat mengusik. “Siapalah yang bertuah akan bawa balik Teddy Bear ni ya.” ujarnya memberi teaser kepada semua. Sejurus selesai berlagu, Anuar Zain menjemput Dina naik ke pentas untuk memulakan permainan interaktif dengan peminat. Peminat-peminat bertuah dapat meluangkan masa di atas pentas bersama Anuar Zain secara lebih akrab dan intim, sambil diperhatikan yang lain bergelak ketawa.

Tidak ketinggalan untuk naik ke bahagian atas Jiospace bagi menemui peminat yang membeli tiket bahagian atas, Anuar Zain sempat berseloroh “Ini bukan konsert, ini acara baling teddy bear!” Gamat hilai tawa kedengaran mendengar kata-kata itu. Mendendangkan medley tanpa iringan muzik “Saving All My Love”, “Emosi”, “Hello” dan “Hujan”, Anuar Zain tenggelam dalam keghairahan pelukan peminat-peminat. Sempat Ziana Zain melontarkan vokalnya apabila dihulur mikrofon, menjadi salah satu crowd yang tidak pernah ketinggalan memberi sokongan padu buat adik kesayangan.

Ketika lagu “Ketulusan Hati” usai dipersembahkan, peminat dan Anuar Zain sendiri dikejutkan dengan kemunculan kek besar bertulis ‘AZ 40’ khas untuk sambutan hari lahir Anuar Zain apda 15 Februari baru-baru ini. Ramai-ramai seiringan menyanyikan lagu “Allah Selamatkan Kamu” buat pemilik nama Shahrul Anuar Zain yang genap 54 tahun. Konsert yang mencipta sejarah kerana tidak pernah seumpamanya, menyaksikan Anuar Zain merangkul peminatnya dengan jiwa besar dan penuh kasih sayang. Semua yang hadir tenggelam syahdu dalam kemeriahan, sorakan dan tepukan gemuruh tak henti-henti.

Memberikan semua yang terbaik untuk peminatnya, Anuar Zain bukan sahaja dihormati malah dicintai oleh setiap satu hati yang mengidolakan beliau. Seperti yang dilagukan “Andainya Takdir”, “Cinta Takkan Berakhir” sememangnya tidak ada seorang pun yang mahu petang itu berakhir. Meski pun memberi cuma “Sedetik Lebih” demi untuk “Kau Bunga Cintaku”, “Lelaki Ini” tidak pernah gagal mencipta momen yang sangat manis, romantis dan penuh magis. Saya percaya ramai yang tidak lena tidur malam itu, apakah lagi yang diinginkan sewaktu menyaksikan konsert “AZ40 Up Close & Personal” anjuran Jiobuddy dan AZN manakala pengurusan konsert oleh Altus Prohouse serta rakan produksi oleh Level Up. Sudah pasti haruman teddy bear buat peneman sehingga berjumpa lagi di konsert akan datang.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page