April 28, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Ledakkan Eksplosif ‘Konsert Kasi Gegar’: Amuk dan Cromok Buktikan Mereka Masih Berbisa

Spread the love

Kredit Foto:  PaPaDin

Semangat kental dan aura agresif dua nama besar dalam dunia rock dan metal tempatan, Amuk dan Cromok telah ‘disenyawakan’ dalam sebuah pentas penuh ledakan menerusi Konsert Kasi Gegar. Konsert ini bukan sekadar mempersembahkan lagu-lagu hit mereka, tetapi juga menampilkan bagaimana perjalanan, perjuangan, dan identiti muzik kedua-dua band ini diterjemahkan secara visual dan sonik kepada peminat.

Konsert ini menjanjikan sebuah pengalaman luar biasa, dengan susunan lagu, persembahan pentas dan produksi visual yang mengangkat semangat keaslian Amuk serta kekentalan muzik Cromok. Ia bukan sahaja meraikan warisan muzik keras Malaysia, malah membuka ruang untuk penonton generasi baru memahami legasi dua ikon ini dengan pendekatan lebih segar dan moden.

Konsert Kasi Gegar! Cromok vs Amuk yang dianjurkan oleh YNS Event Management yang telah berlangsung di N9 Arena, Nilai, Negeri Sembilan pada 26 April lalu menyaksikan malam penuh gegaran itu membuktikan bahawa muzik keras tempatan masih berbisa, dan interpretasi dua legenda, Amuk dan Cromok.

Konsert Kasi Gegar bukan sekadar sebuah acara tetapi sebuah manifestasi evolusi dan semangat dua entiti penting dalam landskap rock dan metal Malaysia. Dari awal hingga ke akhir, persembahan mereka bukan sahaja menyalurkan adrenalin, tetapi juga menghidupkan semula naratif perjuangan muzik keras di pentas tempatan.

Pentas ‘Kasi Gegar Amuk dan Cromok’ terlebih dahulu dipanaskan dengan RPGIO, sebuah band yang bergenrekan metal dengan barisan ‘penggempur’ berbangsa india ini berjaya memberikan momentum aras tinggi kepada penonton yang hadir.  3 buah lagu menjadi sandaran kepada khalayak yang cukup selesa dengan identiti yang menjadi identiti rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Pentas kemudiannya dicernakan dengan kumpulan Amuk, dengan imej bertopengnya yang ikonik, membuka malam dengan aura penuh misteri dan kekuatan. Lagu-lagu seperti Latah, Mudah Lupa dan Dalam Semak dibawakan dalam susunan lebih dramatik, mempamerkan interpretasi baru terhadap tema-tema kegelapan, ketuhanan, dan perjuangan peribadi. Di sebalik dentuman gitar dan hentakan dram, Amuk tetap konsisten menyampaikan mesej spiritual dan kebangkitan jiwa, disulam dengan vokal garau yang menjadi tanda pengenalannya.

Tidak terhenti disitu, jentera yang mengemudi Amuk terus rakus dengan Ranap, Matahari, Aku Mahu Pulang, Hakikat, Akar dan Bum dan Ingat-ingat yang nyata mempamerkan kredibiliti yang jitu terhadap ‘instrumen’ yang menjadi perisai perang pada malam tersebut.

Tidak sekadar menabur ‘peluru’ khalayak turut didodoikan dengan lagu seperti Rumie dan Julie dan Untukmu Sayang sekaligus mengamit nostalgia.  Sebelum meninggalkan pentas Amuk sekali lagi mengharukan situasi dengan lagu Cakerawal dan Ngap Sayot yang tidak menoktahkan persembahan mereka.

Pentas kemudiaanya diserahkan secara total kepada Cromok bagi memberi seraya menyalurkan tenaga berbeza dimana ianya lebih teknikal, lebih rapi, namun tetap menggelegar. Membawa pengaruh thrash metal yang mereka pelopori sejak dahulu.

Dominasi lagu-lagu seperti Journey, Misty dan Obsessed nyata memaku penonton yang pastinya adalah fanatika Cromok.  Suasana di hadapan pentas hingar bingar dengan aksi moshing, headbanging yang sekata. Membangit amarah, nostalgia dan membuktikan ketangkasan musikal mereka tidak pernah pudar. Permainan riff berat Karl, kekuatan dram Apizz, dan aura keseluruhan Cromok memberikan dimensi tersendiri kepada malam itu, seakan membawa penonton merentas masa, ke zaman keemasan metal Malaysia.

Sam sekali lagi membuktikan mengapa beliau adalah jiwa dan nadi Cromok, seorang mastermind yang tidak pernah gentar mengemudi pentas dengan ketangkasan yang menakjubkan. Rendah diri, namun penuh karisma, Sam tampil menguasai pentas seperti seorang anak muda, membawa para penonton menyelami dunia magis yang dicipta Cromok.

Penonton seterusnya didambakan dengan segmen tribute kepada 2 anggota yang telah ‘pergi’, Miji dan juga Din menerusi Another Your dan Fallen Heroes.  Punishment Hour, Misery, Somewhere Anywhere, Castaway, Suffer dan I Don’t Belong Here kemudiannya melatari segenap arena.

‘Konsert Kasi Gegar Amuk dan Cromok’ pastinya tidak lengkap tanpa kolaborasi di antara keduanya.  Ianya juga menoktahkan tohmahan peminat yang mengatakan bahawa Amuk ‘tiru’ Cromok, ironinya sebelum ‘terpaterinya’ Amuk ianya telah mendapat ‘restu’ daripada Amuk.

“Sekian lama, inilah jawapan kepada album Amuk”, ujar Bandi sebelum tampil berkolaborasi bersama Cromok menerusi lagu Anugerah (Little One) dan Tanpa Prejudis (Farewell).  Selepas itu Amuk muncul bergandingan dengan Sam dengan lagu Siblings (Tak Merdeka) dan Seedlings (Hantu Yang Takut).

Gabungan dua kuasa besar ini membentuk suara baru, suara persaudaraan, suara perjuangan, suara jiwa muzik keras Malaysia. Ianya juga membuktikan bahawa dua dunia, dua warna muzik menjadi satu semangat.

Tema ‘hari raya bersama peminat’ diimplimentasikan sebaik mungkin menerusi ‘Raya Yang Sempurna’ nyanyian asal oleh Awie.  Penyatuan muzik dan melodi rock gaya metal di tiupkan ‘roh’nya dalam lagu ini. 

Dari segi produksi, Konsert Kasi Gegar cukup mengagumkan. Pencahayaan dramatik, paparan visual latar yang bertemakan kegelapan dan pemberontakan, serta bunyi sistem yang mantap memperkuatkan lagi pengalaman audiovizual penonton. Setiap lagu seolah-olah dirancang untuk bercerita. Bukan sekadar persembahan muzik, tetapi satu bentuk penceritaan tentang siapa Amuk dan Cromok, serta kenapa mereka tetap relevan hari ini.

Paling menyentuh, momen di mana kedua-dua band berkongsi pentas dalam segmen khas, membawakan lagu-lagu pilihan dengan gaya silang genre, sesuatu yang jarang berlaku dan memberi kelainan kepada keseluruhan malam.

Secara keseluruhannya, Konsert Kasi Gegar bukan sahaja sebuah penghormatan kepada legasi Amuk dan Cromok, malah satu manifestasi bagaimana muzik keras Malaysia terus berkembang, beradaptasi dan menginspirasikan generasi baru. Ia membuktikan bahawa interpretasi muzik tidak pernah static, ia hidup, berubah dan terus bergema, seperti malam penuh gegaran itu.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page