Lebih Indah Berpisah: Bella Astillah Dedah Perjalanan Emosi Dalam Lagu

Pelakon dan penyanyi Bella Astillah tampil dengan single terbaharu ‘Lebih Indah Berpisah’ yang diinspirasikan daripada kisah hidupnya sendiri.
Merupakan kolaborasi istimewa dengan pemuzik tersohor Indonesia Ade Govinda sebagai pencipta lagu, Lebih Indah Berpisah mengangkat tema keberanian melepaskan hubungan yang tidak lagi dihargai demi kebahagian diri.
“Saya nyanyi sambil menangis.” Itu antara luahan daripada penyanyi dan pelakon, Bella Astillah, ketika berkongsi perjalanan penghasilan single terbarunya, Lebih Indah Berpisah, ciptaan pemuzik terkenal Indonesia, Ade Govinda.
Menurut Bella atau nama sebenarnya, Dayang Ara Nabeela Awang Astillah, lagu itu bukan sekadar buah karya tetapi turut mengangkat tema keberanian untuk melepaskan hubungan yang tidak lagi menghargai dengan jiwa yang ikhlas dan hati yang reda.

“Bermula daripada cadangan tajuk yang asalnya sedikit berbeza, akhirnya saya dan Ade Govinda sepakat untuk memilih perkataan indah sebagai teras utama judul ini, mencerminkan sisi positif daripada sebuah perpisahan.
“Lagu ini ditulis dengan penuh jiwa dan semangat oleh Ade, menggambarkan keberanian untuk berpisah dengan penuh keikhlasan,” katanya ketika sidang media ekslusif di sini, hari ini.
Katanya, bekerjasama dengan Ade dan pasukannya sebagai satu kenangan yang sangat berharga dan tidak dapat dilupakan.
“Mereka sangat menghormati masa, bakat, dan orang lain tanpa memandang siapa kita. Mereka layan semua orang dengan penuh hormat dan profesionalisme.
“Sewaktu proses rakaman, suasana di studio sangat positif dan penuh sokongan. Ini menjadikan pengalaman rakaman bebas tekanan. Malah, dengan semangat dan sokongan mereka, saya rasa lebih bersemangat untuk memberikan yang terbaik.
“Saya berharap lagu ini dapat menjadi teman kepada sesiapa yang sedang melalui fasa sukar, serta diterima baik bukan sahaja di Malaysia, malah juga di Indonesia. Paling penting, saya mahu ia dekat di hati pendengar, “ ujarnya.

Sementara itu, bagi Ade bekerjasama dengan Bella merupakan pengalaman yang luar biasa.
“Bella sangat profesional, bukan sahaja dari segi nyanyian, malah lakonannya dalam video muzik juga memperlihatkan kesungguhan yang luar biasa.
“Tidak ramai wanita mampu menunjukkan ketabahan dan komitmen seperti dirinya. Bella sememangnya luar biasa,
“Bella bukan hanya penyanyi, dia profesional. Dalam rakaman dan dalam penggambaran muzik video dia beri komitmen penuh. Tidak semua wanita ada ketabahan seperti Bella,” katanya sambil memberitahu dia bakal berkolaborasi bersama penyanyi nombor satu Malaysia, Siti Nurhaliza.
Untuk rekod, Lagu Lebih Indah Berpisah sudah mencatat lebih 700,000 tontonan di YouTube sejak dilancarkan bulan lalu, dan mendapat sambutan hangat di Malaysia.