May 5, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

“Lebih Indah Berpisah”, Bella Astillah Bangkit, Bersinar Bersama Ade Govinda Dalam Balada Penuh Luka & Keberanian

Spread the love

Selepas melalui pelbagai fasa dalam hidup dan kerjaya, Bella Astillah kini tampil berani dengan single terbaharu berjudul “Lebih Indah Berpisah”, hasil kolaborasi mantap bersama pemuzik dan komposer tersohor Indonesia, Ade Govinda.

Lagu balada mendalam ini bukan sekadar kisah cinta yang terlerai, tetapi menjadi simbol kekuatan dan keikhlasan melepaskan cinta yang tidak lagi dihargai. Ade Govinda selaku pencipta dan penerbit lagu menggambarkan karya ini sebagai satu luahan jiwa—tentang keberanian memilih kebahagiaan sendiri, walaupun dengan harga sebuah perpisahan.

“Lagu ini tentang seseorang yang cukup kuat untuk pergi ketika cintanya tidak dihargai. Perpisahan bukan tanda kalah, tapi langkah berani untuk kehidupan yang lebih indah,” ujar Ade.

Bella Astillah, yang sebelum ini dikenali dengan lagu-lagu berunsur cinta dan ketabahan, menyifatkan Lebih Indah Berpisah sebagai karya paling peribadi dalam katalog seninya setakat ini.

“Ade menulis lagu ini dengan penuh jiwa. Kami sepakat memilih ‘indah’ sebagai elemen utama judul, agar perpisahan itu dilihat dari sisi yang lebih positif dan memberi harapan,” katanya.

Tambah Bella, pengalaman bekerjasama dengan Ade dan pasukannya di Jakarta adalah sesuatu yang tidak akan dilupakan.

“Mereka sangat profesional, menghormati semua orang tanpa mengira latar belakang. Suasana studio sangat menyokong dan buat saya lebih bersemangat. Lagu ini juga cabaran untuk saya jadi lebih baik – bukan untuk bersaing, tapi untuk diri sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Ade turut memuji profesionalisme Bella sepanjang proses rakaman dan penggambaran video muzik.

“Bella menunjukkan kesungguhan yang luar biasa. Bukan mudah untuk seorang wanita tampil kuat di depan dan belakang kamera, apatah lagi menyampaikan lagu yang begitu emosional. Dia benar-benar memberi jiwa,” kata Ade.

Dengan mesej yang merentas batas emosi dan geografi, Lebih Indah Berpisah diharapkan dapat memberi kekuatan kepada mereka yang sedang berdepan detik perit dalam percintaan.

Lagu ini kini boleh didengari di semua platform penstriman digital, manakala video muzik rasmi yang turut menampilkan Bella dalam sisi emosional dan jujurnya telah dilancarkan di YouTube.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page