November 23, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Lebih 7000 Peminat Meriahkan Loop Music Festival

Spread the love

Loop Music Festival yang berlangsung di Axiata Arena pada 11 Mei lalu berjaya menggamatkan para peminat muzik tempatan dengan persembahan daripada barisan penyanyi dan band popular negara.  Lebih 7000 penggemar muzik dari pelbagai genre antaranya Rock, Dangdut, , R&B, Indie, Irama Malaysia dan hip hop berhimpun di bawah satu bumbung.

Antara barisan artis terkenal tanah air yang membuat persembahan adalah Datuk Sri Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, XPDC, Masdo, Insomniacks, Aisha Retno, Noraniza Idris, Sufian Suhaimi dan ramai lagi.

Fenomena penganjuran festival muzik kini menjadi satu trend yang semakin berkembang dan digemari apatah lagi dengan hanya mengeluarkan sedikit kos, peminat dapat menikmati pelbagai genre muzik di atas sebuah panggung.

Bukan sahaja mewakili era dan genre masing-masing, malah mereka ini juga barisan artis yang mendominasi carta muzik tanah air. Tidak boleh dinafikan barisan artis yang ditampilkan memiliki aura dan pengaruh yang kuat serta memberi impak yang kekal sehingga kini.

Loop Music Festival yang bermula seawal jam 2 petang itu terlebih dahulu memberi ruang kepada peminat Disco Santan, Arish Mikael, Usop, Nadeera Zaini, Ronnie Hussein, Aisha Retno dan Sufian Suhaimi untuk menikmati muzik yang mereka dambakan.

Meskipun ketiadaan Ali, vokalis XPDC ianya sedikit pun tidak mencacatkan persembahan Mamu yang menggalas tugas sebagai vokalis.  6 buah lagu menjadi ‘santapan ‘ peminat tegar kumpulan tersebut.  Antara lagu yang dipersembahkan adalah Hidup Bersama, Apa Nak Di Kata, Selendang Merdeka, Semangat Yang Hilang dan 2 buah lagu yang dipersembahkan secara medley iaitu Hentian Ini dan Titian Perjalanan.

Aura rock yang meresapi peminat kini bertukar jalur muziknya apabila Lucidrari mengambilalih pentas.  Tidak dinafikan persembahan memukau daripada Noraniza Idris mampu untuk terus memaku khalayak yang rata-rata berusia belasan tahun membawa kepada peminat muzik rock untuk menikmati perspektif irama Malaysia.  Ngajat Tampi, Awallah Dondang/Ting Ting/ Hatinya Tak Tahan (Medley), Cintaku Sampai Etopia, Dondang Dengdang dan Dikir Puteri sudah pasti turut mengundang lontaran vokal di kalangan penonton.

Ruang dan setiap isi Axiata Arena kini mula di penuhi peminat, meskipun hujan di luar itu tidak bermakna sokongan pendengar kepada Dayang Nurfaizah yang membuka tirai pentas di sebelah malam.

Pentas kemudiannya di serahkan kepada Datuk Sri Siti Nurhaliza.  Penyanyi kesayangan ramai ini sudah pasti mempersembahkan seleksi lagu malar segar antaranya Ya Maulai, 7 Nasihat/ Ganti (Medley), Sehebat Matahari, Destinasi Cinta, Seribu Kemanisan / Azimat Cinta / Aku Bidadari Syurgamu (Medley).  Meskipun tanpa lagu-lagu hit, itu tidak bermakna peminat pasrah malah seluruh Axiata Arena bergema dengan nyanyian bersama peminat.

Irama dangdut yang melatari karier Amelina pantas menikmati jiwa-jiwa kosong yang ingin kembali santai.  Amelina tampil dengan seleksi lagu-lagu medley iaitu Semalin Rindu Semakin Asyik, Ah Rindu lagi, Bulan Cinta, Yang Tersayang, Secangkir Madu Merah, Rindu dan Asyik.

Klimaks Loop Music Festival terus dikuasakan dengan persembahan bertenaga daripada Insomniacks.  Hampir 80 peratus peminat yang berada di hadapan pentas dipenuhi oleh ‘Generasi Z’ yang faham dan membesar dengan lagu-lagu yang menjadi halwa telinga mereka. 

Masa terus berlalu, Masdo melengkapi Loop Music Festival dengan nuansa ago go.  Tidak perlu dipertikaikan kehebatan band yang cukup popular menerusi lagu-lagu seperti Janji Manis, Pujaanku, Dinda, Kasih dan Sayang, Berchanda dan Malam Pesta Rock n Roll berjaya membawa khalayak untuk menikmati kepelbagaian genre sehingga ke noktah.

LOOP MUSIC FESTIVAL yang dikuasakan oleh AirAsia dan Tune Group serta SEISMIK dan XTRA sebagai rakan digital itu ternyata berjaya menghimpunkan lagenda-lagenda ikonik negara bersama para pendominasi carta-carta muzik tempatan.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page