September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Lebih 100 Filem Dipertandingkan Dalam Festival Filem Malaysia Edisi Ke 33

2 min read
Spread the love

Lebih 100 filem bakal bertanding dalam Festival Filem Malaysia (FFM) Edisi Ke-33 bertema Evolusi Sinema Malaysia atau Emas dari Auditorium Seri Angkasa, Kota Media, Angkasapuri pada 7 Disember depan selepas setahun penganjuran tertangguh.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, penyertaan edisi kali ini dibuka bermula hari ini hingga 6 September depan.

“FFM 33 bukan sahaja bertujuan menghargai karya seni dan kreativiti dalam industri perfileman negara, tetapi mengukuhkan peranan industri filem dalam pembangunan sosio ekonomi Malaysia.

“Kerajaan sentiasa komited menyokong pertumbuhan industri sebagai sektor ekonomi dinamik, selain memperkukuh identiti dan budaya kebangsaan.

“Berdasarkan data diperoleh melalui Unit Galakan Industri dan penyertaan Skim Wajib Tayang, lebih 100 filem bakal bertanding dalam FFM 33. Angka ini sebagai bukti perkembangan pesat industri perfileman negara.

“Dalam masa sama, prestasi kutipan pecah panggung juga menunjukkan perkembangan positif. Pada 2023, sebanyak 56 filem tempatan mencatatkan kutipan box-office sebanyak RM98.8 juta.

“Menariknya, kutipan mencapai RM87 juta daripada 26 filem sehingga Mei tahun ini hampir menyamai jumlah keseluruhan tahun lalu,” katanya ketika sidang media pertama FFM 33 di Studio Digital Mix Stage, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Hulu Kelang, pada 20 Ogos lalu.

Lebih 100 filem diterbitkan antara 1 Oktober 2022 hingga 30 Jun 2024 layak dipertandingkan. Pemenang kategori utama, Filem Terbaik akan menerima geran Dana Kandungan Digital (DKD) berjumlah RM500,000.

FFM adalah festival filem bertaraf nasional dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi menerusi FINAS untuk mengiktiraf kecemerlangan kualiti filem dan bakat kreatif. Radio Televisyen Malaysia (RTM) sekali lagi dipilih sebagai rakan strategik dan penyiar rasmi malam kemuncak FFM 33.

Hadir sama pada majlis sidang media pertama FFM33 itu ialah Pengerusi Finas, Datuk Kamil Othman, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib dan wakil daripada persatuan seni tanah air.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page