September 19, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Lebih 10 Ribu Belia Meriahkan Fiesta Belia Merdeka 2024

Spread the love

Lebih 10 Ribu belia memeriahkan Fiesta Belia Merdeka 2024 yang diadakan di Dataran Merdeka yang telah berlangsung pada 9 September lalu.

Acara yang dianjurkan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) belia termasuk International Youth Centre (IYC), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), KL Care dan Majlis Belia Wilayah Persekutuan (MBWP) itu telah dirasmikan oleh Datuk Azman Abidin yang juga merupakan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri.

Datuk Azman Abidin dalam ucapan perasmiannya berkata bahawa program tersebut mensasarkan tujuh kategori kumpulan sasaran belia selain dapat memupuk sifat patriotisme serta kesedaran sosial dalam kalangan belia.

 “Antaranya memberi peluang kepada mereka untuk mengetahui tentang peluang kerjaya yang ada.

“Sebagai kerajaan, kita nak beritahu mereka iaitu golongan belia, merupakan golongan yang sangat penting pada negara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program tersebut di Dataran Merdeka pada 9 September lalu.

Tambahnya, kepelbagaian kaum di Malaysia boleh menjadi contoh kepada para belia betapa utuhnya perpaduan di Malaysia.

Menurut Azman, pihaknya sedang mempertimbangkan cadangan untuk menjadikan program seperti ini sebagai acara tahunan.

“Majlis Belia Wilayah Persekutuan akan bersama-sama dengan semua agensi, untuk menjayakan program ini. Kali ini kita cuba untuk mengadakannya di Putrajaya pada tahun hadapan dengan menyasarkan seramai 100,000 belia,” katanya.

Dalam majlis yang sama penyanyi, Zaiton Sameon turut menerima Anugerah Khas Anak Seni yang telah disampaikan oleh Presiden Majlis Belia Wilayah Persekutuan, Khairul Rizam Datuk Abu Samah.

Zaiton kini aktif berniaga  secara ‘online’ sambal bilis petai, rendang daging dan rendang kerang berharap agar peminat menerima dan menyokong perniagaannya.

“Semua resipi masakan istimewa seperti sambal bilis petai dan rendang ini, saya warisi daripada arwah ibu. Jadi, saya harap semua pembeli berpuas hati dan terima kasih menyokong.

“Harga jualan di pasaran memang berpatutan dan setakat ini sambutan diterima sangatlah baik kerana saya juga buat video di TikTok,” ujarnya.

Zaiton turut melahirkan rasa syukurnya  yang tidak terhingga kepada Allah SWT di atas rezeki dikurniakan untuk pencapaian karier seninya yang melewati lima dekad.

Selain Zaiton Sameon, Pelakon Pekin Ibrahim turut menrima Anugerah Khas Anak Seni.

Beliau merasa terkejut dipilih menerima Anugerah Khas Anak Seni itu, namun bersyukur dikurniakan rezeki berikutan sudah 30 tahun pembabitannya dalam karier seni tanah air.

“Saya terima anugerah ini sebagai pengiktirafan dan seadanya dalam pencapaian karier seni yang sudah 30 tahun diceburi. Sebagai penerima, saya berterima kasih atas anugerah ini,” ujarnya.

Fiesta Belia Merdeka 2024 turut menyaksikan beberapa acara antaranya adalah Fitness Dance Marathon, Karnival Kerjaya oleh PERKESO, Bike Show, Forum Belia Berisiko, Pertandingan Filem Pendek, Hari Rock Negara dan Sambutan 50 Tahun Hubungan Diplomatik Malaysia-China.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page