Latihan Pestapora Malaysia 2025 Umum Barisan Artis Serumpun – 24 Nama Dari Malaysia & Indonesia

Feast, Hindia, Bittersweet dan Bunkface antara 24 artis yang bakal beraksi di pentas Latihan Pestapora Malaysia yang pertama
Bersiap sedia untuk sebuah pesta muzik rentas sempadan yang luar biasa! Buat julung kalinya, festival muzik popular Indonesia, Pestapora, akan berlabuh di Malaysia menerusi acara Latihan Pestapora Malaysia pada 26 Julai 2025. Usaha sama di antara penganjur konsert terkemuka tanah air, Hitman Solutions, dan Boss Creator dari Indonesia, festival ini bakal menjadi titik temu utama antara dua budaya muzik serumpun – Malaysia dan Indonesia.

Pengumuman rasmi barisan artis fasa pertama telah dilakukan dalam satu sidang media khas pada 7 Mei lalu di The Campus Ampang yang turut dihadiri oleh para artis serta wakil penganjur.
Antara nama besar dari Indonesia yang bakal menggegarkan pentas termasuklah .Feast, Hindia, Barasuara x Efek Rumah Kaca, Feel Koplo, Kunto Aji, dan Pamungkas. Sementara itu, barisan artis tempatan tidak kurang hebatnya dengan kehadiran Bittersweet, Bunkface, DOLLA, SonaOne, dan Salammusik – menjadikan jumlah keseluruhan 24 nama yang dijangka tampil dalam festival ini.

Menampilkan pelbagai genre muzik dari pop, rock, alternatif, hip-hop hingga indie, Latihan Pestapora Malaysia memberi peluang kepada peminat tempatan merasai keunikan dan semangat komuniti yang telah menjadikan Pestapora sebagai festival muzik terbesar di Indonesia.
“Setiap tahun ribuan peminat dari Malaysia akan ke Jakarta untuk hadir ke Pestapora. Melihat keupayaannya menyatukan orang ramai melalui muzik, kami mahu rakyat Malaysia turut merasai magisnya,” kata Rohit Rampal, CEO dan Pengasas Hitman Group.
Beliau turut mendedahkan bahawa lebih 2,000 tiket telah terjual walaupun barisan artis belum diumumkan, satu bukti kukuh terhadap kepercayaan peminat terhadap jenama Pestapora yang sinonim dengan muzik, seni, budaya dan komuniti.

Menurut Kiki Ucup, Pengarah Festival Pestapora dan pengasas bersama Boss Creator, inisiatif Latihan Pestapora Malaysia adalah langkah awal untuk menjadikan Malaysia sebagai sebahagian daripada rangkaian budaya Pestapora:
“Kami melihat potensi besar di Malaysia. Harapan kami adalah untuk menjadikan Latihan Pestapora sebagai fasilitator buat para penggiat seni kedua-dua negara untuk saling memperkenalkan karya mereka kepada khalayak yang lebih luas.”
Peminat boleh mendapatkan tiket General Admission – RM129 ke atas, Rockzone – RM199 ke atas, ● Kanak -Kanak – RM70 dan Akses Express Lane – tambahan RM100

Pembelian tiket boleh dilakukan di laman web www.latihanpestaporamalaysia.com.
Bagi sebarang maklumat lanjut, sila hubungi kami di talian +6012-2655783 atau emelkan ke [email protected].