September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Lapan ‘Jentera’ Imbau Nostalgia Rock

2 min read
Spread the love

Lapan ‘jentera’ berjaya mengembalikan nostalgia rock 80an apabila mereka disatukan di atas pentas yang cukup hebat, Zepp Kuala Lumpur pada 29 September lalu.

Konsert Semangat Zaman menampilkan Datuk Nash, Yantzen, Aris Ariwatan, Muss, Rahmad, Joey, Jatt dan Bandi telah di anjurkan oleh Semangat Zaman Music & Entertainment adalah bersempena merayakan ulangtahun ke 20 bersempena kelahiran album Semangat Zaman.

Miniti hirarki album Semangat Zaman 1 yang diterbitkan pada 2004 dimana  menampilkan Datuk Nash, Yantzen, Aris Ariwatan, Muss, Rahmad Mega, Rahim Maarof dan Joey BPR.

Semangat Zaman 2 pula diterbitkan pada 2004 kekal dengan penyanyi sama, namun menampilkan ahli baharu iaitu Allahyarham Shamrin Fotograf dan Jatt Black Dog Bone.  Manakala untuk edisi ketiga Semangat Zaman tahun ini, tempat Rahim yang berdepan masalah kesihatan kini digantikan Bandi.

Pentas Zepp terlebih dahulu dibuka dengan band Aisunam yang berjaya menghangatkan suasana dengan 3 buah lagu yang dipetik daripada album mereka antaranya Manusia, Masuk Gear Jalan dan Bisikan.

Meskipun bertindak sebagai ‘opening’, Aisunam ternyata cukup bijak berinteraksi dengan khalayak apatah lagi dalam menghamburkan seleksi lagu-lagu yang cukup untuk memberi aura kepada konsert Semangat Zaman.

Pentas Semangat Zaman dibuka dengan lagu Anugerah Zaman yang dipetik menerusi album Semangat Zaman III yang turut menghimpunkan lapan vokalis lagenda rock.

Lapan karekter dicipta menerusi era kegemilangan rock 80an dan 90an ternyata memberikan impak kepada peminat yang hadir apabila mereka mendendangkan 20 buah lagu yang cukup kuat nuansa ‘rock’nya sementelah mengimbau nostalgia peminat yang membesar dengan lagu-lagu seperti Dari Sinar Mata, Rumi dan Julie, Cintamu Mekar Di hati, Cinta Kristal,Tiada Lagi Aku, Bayangan Gurauan, Di Alam Fana Cinta dan sebagainya.

Meskipun artis bertukar ganti dengan lontaran lagu-lagu yang dipersembahkan, namun band pengiring yang diterajui oleh Alfa bersama Rumie, Eddie, Loco, Mijan, Nappie, Awe dan Nazrul cukup konsisten dengan ‘senjata perang’ masing-masing.  20 buah lagu di susun dan di beri ‘nyawa’ oleh mereka tanpa rasa penat.

Konsistensi, energi yang beriringan di antara pemuzik memberikan ‘warna’ serta semangat kepada 8 vokalis untuk terus berjuang sehingga ke noktah terakhir.

Lagu popular yang bergentayangan pastinya mengundang keterujaan peminat untuk sama-sama menyanyi, sekali gus mewujudkan ‘pentas karaoke’ terbuka yang meriah. Lapan legenda rock atas satu pentas dalam satu malam, pasti akan menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakan peminat.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page