October 24, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Langsuir Gegar Singapura di Shadows Over Singahell II

Spread the love

Kumpulan black metal berpengaruh dari Malaysia, Langsuir, telah menggegarkan pentas Spectrum by Phil Studio di dalam kompleks GR.iD, Singapura, menerusi persembahan mereka pada gig Shadows Over Singahell II yang berlangsung minggu lalu, 13 Julai.

Acara tersebut menyaksikan Langsuir beraksi sebagai headliner dalam barisan kumpulan metal hebat dari Singapura, termasuk Eibon, Fyraun, Antologi, dan Kersani. Konsert ini merupakan sebahagian daripada siri jelajah Langsuir untuk mempromosikan album terbaru mereka, Engkar, yang telah dilancarkan awal tahun ini.

Sebelum ke Singapura, Langsuir telah menjelajah beberapa lokasi utama di tanah air, bermula di Kuala Lumpur pada Februari, kemudian ke Ipoh pada Mei, dan Johor Bahru sehari sebelum persembahan mereka di Singapura. Destinasi seterusnya adalah Kuantan, menandakan komitmen berterusan mereka dalam mempromosi album terkini kepada peminat-peminat seluruh rantau.

Menurut penganjur, sekitar 130 peminat membanjiri ruang Spectrum yang mampu menampung kira-kira 250 orang pada satu masa. “Sambutan yang sangat baik, dan kami amat berterima kasih kepada Langsuir kerana sudi datang ke Singapura,” kata Armin dari Hellthrone Productions, penganjur acara tersebut. “Kami amat gembira dengan respons peminat dan berharap untuk menganjurkan lebih banyak acara seumpama ini, termasuk edisi akan datang Shadows Over Singahell.”

Para peminat yang ditemui selepas konsert turut menyatakan keterujaan mereka terhadap barisan kumpulan yang mantap serta persembahan bertenaga malam itu. “Gabungan Langsuir dan kumpulan-kumpulan unggul dari Singapura adalah sesuatu yang luar biasa. Ini satu malam yang sukar dilupakan,” kata salah seorang penonton.

Langsuir pula menyifatkan persembahan mereka kali ini sebagai detik bersejarah kerana ia merupakan kemunculan mereka di Singapura buat kali kedua selepas kali pertama pada tahun 1994. Bagi mereka persembahan mereka di Singapura adalah sesuatu yang istimewa. “Kami ingin ucapkan terima kasih kepada pihak penganjur atas layanan yang sangat baik sepanjang kami di sini,” ujar mereka dalam satu kenyataan.

Ditubuhkan pada tahun 1991 di Ipoh, Perak, Langsuir merupakan antara pelopor awal muzik ekstrem di Malaysia. Dengan gaya muzik yang dikenali sebagai “Eastern Black Metal”, kumpulan ini turut menampilkan unsur budaya Melayu dalam imej dan karya muzik mereka melalui penggunaan cerita rakyat dan mistik Melayu sebagai tema utama.

Kejayaan persembahan mereka di Singapura membuktikan bahawa muzik metal, khususnya black metal Malaysia, masih mendapat tempat di hati peminat serantau, dan Langsuir terus mengukuhkan legasi mereka sebagai ikon metal tempatan di pentas antarabangsa.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page