March 18, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

‘Lalok’ Demi Watak, Fauziah Nawi ‘Kacau’ Emosi Raya Dalam Doa Sang Pendosa

Spread the love

Kehebatan Fauziah Nawi sebagai aktres bukan lagi sesuatu yang perlu dipertikaikan. Namun, untuk naskhah Aidilfitri kali ini, beliau tampil dengan sisi berbeza apabila sanggup ‘menggali’ pengalaman luar kebiasaan demi menjayakan watak penagih dadah dalam telefilem Doa Sang Pendosa.

Dalam karya arahan Issey Fazlisham itu, Fauziah memegang watak Maria, seorang warga emas yang berulang kali keluar masuk pusat pemulihan di Puspen Bachok.

Menurutnya, cabaran terbesar adalah untuk memahami kehidupan seorang penagih kerana beliau tidak pernah terdedah dengan dunia tersebut.

“Saya memang tak pernah terlibat dengan dadah atau minuman keras, jadi agak sukar untuk bayangkan keadaan ‘lalok’ itu sendiri.

“Tapi sepanjang penggambaran, saya asyik mengantuk dan wajah saya nampak seperti lalok. Sampai Issey pun tegur ekspresi saya macam penagih bila tengok di monitor,” katanya jujur.

Tambah Fauziah, walaupun sukar, beliau tetap memberikan komitmen penuh demi memastikan watak Maria benar-benar ‘hidup’ dan menyentuh emosi penonton.

Bagi Issey pula, idea menghasilkan naskhah ini bukan sekadar fiksyen, sebaliknya diinspirasikan daripada pengalaman sebenar bertemu klien pusat pemulihan dadah sebelum ini.

“Kisah ini dekat dengan realiti. Kami mahu penonton faham kehidupan mereka yang bergelut dengan ketagihan.

“Disebabkan ia ditayangkan pada Aidilfitri, kami cuba sentuh emosi penonton dengan lebih mendalam, selari dengan suasana bulan yang penuh keinsafan,” katanya.

Telefilem yang mendapat sentuhan skrip Siti Jasmina Ibrahim ini turut dibarisi pelakon hebat seperti Fatimah Abu Bakar, Farah Ahmad dan Nadia Aqila.

Menariknya, Doa Sang Pendosa tampil dengan kekuatan pelakon wanita sebagai tunjang utama, sekali gus memberi kelainan berbanding kebiasaan drama tempatan.

Telefilem ini turut mendapat sokongan Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan bakal ditayangkan pada 22 Mac ini, jam 3 petang di Astro Prima.

Jangan lepaskan peluang menyaksikan naskhah penuh emosi ini Aidilfitri nanti bukan sekadar hiburan, tetapi sebuah kisah keinsafan yang pasti ‘menampar’ perasaan penonton.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page