Lahirnya ‘Aku Faizal Tahir Live in Kuala Lumpur’
Mengajak peminatnya menyelusuri 17 tahun ceritera dalam industri muzik tanahair
Oleh: Sakka E
Gah sosok tubuh serba putih bertengkolok istimewa buatan sendiri, diangkat ke pentas yang bertatah gemilau lembayung cahaya menerjah riuh rendah, memukau jiwa lantas menghempas rindu para peminat yang mendambakan nyanyian asyik dari sang penghibur bernama Faizal Tahir.
Judul Mahakarya Cinta dipilih sebagai pembuka tirai persembahan yang bukan nyanyian hiburan semata – mata bahkan ianya juga meluahkan kisah, berkongsi pengalaman pahit manis selama lebih 17 tahun bergelar anak seni yang boleh dijadikan contoh dan tauladan buat pedoman hidup seharian. Ianya juga sebagai hadiah istimewa buat para peminat yang telah sekian lama menantikan aksi beliau di pentas.
Persembahan diteruskan dengan single terbaru beliau berjudul ‘OK’ yang menampilkan gimik ‘hujan duit’ dimana penonton dihujani dengan konfeti wang kertas palsu, ianya sekaligus menggamatkan suasana dewan yang sememangnya sentiasa riuh dengan laungan dari para peminat setia beliau.
Bertempat di Dewan Merdeka, WTC, dewan yang penuh bermakna buat Faizal Tahir. Dewan yang menjadi saksi apabila nama Faizal Tahir mula diperkenalkan melalui program realiti ‘One In A Million’.
Bertindak sebagai penganjur utama, JioSpace telah berjaya menjadikan konsert ‘Aku Faizal Tahir Live In Kuala Lumpur 2023’ suatu acara persembahan berprestij dan bertaraf antarabangsa sekaligus membantu dalam menaikkan martabat industri muzik tanahair. Konsert ini juga mendapat kerjasama dari Altus Prohouse, Faithful Records, World Trade Centre, Level Up dan YCG.
Bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan negara dan bagi menaikkan semangat patriotisme, Faizal mengajak para penonton untuk mengibarkan Jalur Gemilang yang disediakan dalam bentuk sepanduk yang apabila digabungkan ianya menjadi Jalur Gemilang gergasi sambil beliau menyampaikan lagu ‘Malaysia’.
Pujian juga harus diberikan kepada pemuzik iringan yang ternyata berpengalaman dalam persembahan berstatus ‘mega’ melalui pimpinan pengarah muzik Rushdan Ashri, tidak ketinggalan juga jurutera audio yang memastikan gema nuansa yang berkualiti sepanjang persembahan yang sangat menakjubkan ini.
Konsert yang berlangsung selama lebih dua jam ini menghidangkan seleksi lagu – lagu popular Faizal Tahir seperti, Bencinta, Karma, Cuba, Hanyut, Assalamualaikum dan banyak lagi, ianya juga diselang – selikan dengan persembahan kumpulan muzik iringan jemputan iaitu, Casa String Ensemble dan Arjuna Sukma. Konsert ini juga menyaksikan kemunculan istimewa Sabri Yunus dalam lagu Negaraku selaku tukang karut yang mencuri tumpuan para penonton.
Sedang asyik dibuai dengan nyanyian dan dendangan lagu, para penonton dikejutkan dengan penampilan khas dari Dato Sri Siti Nurhaliza yang hanya hadir sabagai penonton dan sama sekali tidak menyangka akan dijemput naik ke pentas. Beliau dan Faizal menyampaikan lagu duet mereka Dirgahayu yang nyata membuat setiap mata tidak berkelip.
Seterusnya, Aliff Satar pula dijemput ke pentas dalam slot ‘Jam Session’, menyampaikan lagu Gemuruh dengan santai dan bersahaja.
Jiwa – jiwa yang hadir jelas terharu menyaksikan betapa kasih seorang ayah terhadap anaknya yang tersayang apabila Faizal menyanyikan lagu Adam dengan sepenuh jiwa yang ditujukan khas buat anak lelakinya yang baru selesai menjalani pembedahan jantung.
Antara seleksi lagu yang juga dimuatkan dalam konsert ini ialah, Starfeather, Sampai Syurga, Sejati, Syahadah, Bisa Aja, Ratu, Ragaman, Fire and Water dan Santai. Konsert ini telah berjaya ‘menawan’ lebih 3000 pengunjung.