Lagu ‘Meriah Hari Raya’ Suntik Energi Pop Moden, Himpukan 5 Suara Generasi Baharu
Menjelang sambutan Aidilfitri 2026, kemeriahan Syawal tahun ini bakal diserikan dengan kemunculan lagu raya baharu berjudul Meriah Hari Raya yang menampilkan gandingan lima penyanyi muda berbakat iaitu Azzam Sham, Sheryl Shazwanie, Ikmal Dani, Nana Tony dan Kasih Lia.
Tampil dengan konsep pop moden yang segar dan ceria, lagu ciptaan komposer serta penulis lirik baharu, Dearlynns ini mengangkat tema kegembiraan, kemaafan dan kebersamaan yang cukup sinonim dengan sambutan Aidilfitri.
Menurut Dearlynns, penghasilan Meriah Hari Raya adalah sebagai usaha membawa nafas baharu dalam genre lagu raya tanpa mengetepikan elemen tradisi yang menjadi identiti perayaan itu sendiri.
“Lagu ini dihasilkan dengan harapan untuk membawa senyuman, kehangatan dan kegembiraan kepada semua pendengar, terutamanya ketika berkumpul bersama keluarga dan sahabat handai di pagi Syawal,” katanya.
Dengan rentak upbeat, melodi yang mudah diingati serta lirik santai, lagu ini sesuai dijadikan runut bunyi sepanjang musim perayaan bermula daripada persiapan raya, perjalanan pulang ke kampung sehingga ke kemeriahan rumah terbuka.

Azzam Sham yang sebelum ini dikenali menerusi lagu Cinta Jangan Pergi meluahkan rasa syukur kerana diberi peluang menjayakan projek berkenaan dan berharap kemunculannya kali ini mampu memeriahkan lagi suasana lebaran.
Ikmal Dani pula berharap lagu tersebut dapat menjadi pengiring indah ketika keluarga dan sahabat berkumpul, sekali gus membantu mengeratkan silaturahim.
Dalam masa sama, Sheryl Shazwanie optimis Meriah Hari Raya mampu menjadi pilihan utama di setiap rumah terbuka selain berpotensi trending di platform media sosial sepanjang musim perayaan.
Bagi artis baharu Nana Tony, peluang berkolaborasi bersama barisan artis berpengalaman disifatkan sebagai satu pengalaman berharga dalam perjalanan seninya, manakala Kasih Lia berharap lagu ini diterima baik oleh semua lapisan masyarakat.

Lagu raya Meriah Hari Raya ini adalah terbitan Luncai Emas Sdn Bhd bersama Myoozikwav Entertainment dengan edaran digital di bawah Luncai Emas.
Menariknya, video muzik rasmi lagu ini turut menjalani penggambaran di negeri Terengganu dengan penampilan khas Mubarak, selebriti warganegara Nigeria yang fasih berbahasa Terengganu dan pernah tular di TikTok.
Selain pelancaran audio di semua platform penstriman digital, video muzik rasmi Meriah Hari Raya juga boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi Luncai Emas bermula 20 Februari 2026.
