Lagu Ayah Jadi Senjata, BLUNTSHEEP Ledak Pedih — Dari Studio Terus Ke Pentas Zepp KL
Tidak menunggu lama untuk mencipta impak pada awal tahun, kumpulan pop rock alternatif BLUNTSHEEP tampil berani mempertaruhkan emosi apabila melancarkan single terbaharu berjudul Pedih sebuah karya yang bukan sahaja menyentuh perasaan, malah sarat nilai peribadi buat vokalisnya, Atta Rumnan.
Lebih mengundang perhatian, Pedih merupakan lagu ciptaan bapanya sendiri, komposer terkenal Hadi Rumnan, sekali gus menjadikan karya ini sebagai simbol legasi seni yang disambung oleh generasi baharu.
“Pedih bukan sekadar lagu. Ia cerminan hubungan saya dengan ayah dan perjalanan emosi kami dalam dunia muzik,” kata Atta yang mengakui karya itu mempunyai makna mendalam buat dirinya.
Single terbitan Sony Music Entertainment Malaysia itu dihasilkan sebagai versi ‘remake’ dengan susunan muzik lebih segar, matang dan berjiwa alternatif, selari dengan identiti BLUNTSHEEP yang dikenali berani bereksperimen dengan bunyi serta emosi.
BLUNTSHEEP dianggotai Atta Rumnan (18) selaku vokalis dan gitar utama, Umar Naufal (18) sebagai gitaris elektrik dan vokal latar, Moses Dass (19) di posisi dram, serta Ariff Azmi sebagai pemain bass tambahan.
Menurut Atta, karya lama tidak seharusnya terperangkap dalam satu zaman.
“Lagu tidak ada tarikh luput. Ia boleh dihidupkan semula dengan jiwa dan tafsiran berbeza mengikut generasi,” katanya sambil menyifatkan legenda antarabangsa seperti Elvis Presley, Nirvana dan Guns N’ Roses sebagai contoh terbaik dalam menghidupkan semula karya klasik.
Atta turut mendedahkan, bersama BLUNTSHEEP, mereka bercadang merakamkan semula beberapa lagu ciptaan Hadi Rumnan yang pernah dipopularkan penyanyi seperti Ezad Lazim, Santesh, Encik Mimpi dan Syafiq Farhain.
“Dalam BLUNTSHEEP, saya mahu terus meneroka muzik rock. Untuk projek solo pula, saya mahu bereksperimen lebih jauh dan mencari identiti sebenar saya,” katanya yang turut mengesahkan sedang berbincang menghasilkan single solo bersama penerbit Indonesia yang terkenal dengan fenomena hipdut.
Belum pun reda keterujaan pelancaran Pedih, BLUNTSHEEP menerima satu lagi kejutan besar apabila diumumkan sebagai band pembuka tirai untuk konsert Malam Simfoni Luka yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, 24 Januari ini.

Konsert itu bakal menghimpunkan nama besar seperti Midnight Fusic, Insomniacks dan For Revenge, sekali gus membuka pentas besar buat BLUNTSHEEP untuk memperkenalkan karya mereka kepada khalayak lebih luas.
“Sejujurnya, kami sendiri masih cuba menghadam semua yang berlaku. Baru lancar lagu, terus diberi peluang buka tirai konsert besar.
“Peluang ini hadir hasil kepercayaan rakan ayah saya, pemilik Icon Entertainment. Kami anggap ini rezeki dan amanah besar,” katanya.
Walaupun hanya mempersembahkan tiga lagu, Atta menegaskan BLUNTSHEEP akan memanfaatkan sepenuhnya peluang tersebut untuk meninggalkan kesan kepada penonton.
Single Pedih kini boleh distrim di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music bermula 23 Januari 2026.
