September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Kumpulan Terbaharu Kerry King Adalah “Lanjutan Kepada Slayer”

3 min read
Spread the love

Keterujaan para peminat muzik metal seluruh dunia kini semakin memuncak apabila bekas pemain gitar Slayer, Kerry King, telah mendedahkan bahawa dirinya kini sedang bersiap sedia untuk memperkenalkan album sulung kumpulan baharunya, yang juga hanya dikenali dengan nama beliau sendiri iaitu ‘Kerry King’. Ramai juga akan menjangkakan perjalanan berdarah terbaharu Kerry King akan mencerminkan legasi kumpulan beliau yang terdahulu itu yang sudahpun berstatus lagenda thrash metal pada masa kini, tetapi dengan kelainan yang unik.

Menurut laporan media sebelum ini, keputusan Kerry King untuk menubuhkan kumpulannya sendiri berpunca daripada ketidakpuasan hatinya dengan persaraan pramatang Slayer, yang menyebabkan dia merasakan ada lagi yang perlu diterokai dalam dunia metal. Pemain gitar itu, yang terkenal dengan kehadiran pentasnya yang begitu sinonim dengan imej Slayer dan juga penciptaan riff-riff ikonik Slayer, meluahkan kekecewaannya mengenai hal tersebut pada tahun lepas.

“Ia adalah pramatang. Sebab saya katakan ‘pramatang’ adalah kerana wira saya dari zaman kanak-kanak saya masih bermain! Saya masih boleh bermain, saya masih mahu bermain, tetapi mata pencarian itu telah diambil dari saya,” kata beliau pada sebuah temuramah yang diadakan bersamanya tahun lepas.

Walaupun mengumumkan dirinya sedang dalam proses penghasilan album sulung band terbaharunya, barisan kumpulan baharu Kerry King masih diselubungi misteri, dengan pendedahan media lewat tahun lalu yang mengesahkan bahawa Gary Holt, yang menggantikan tempat mendiang Jeff Hanneman di dalam Slayer tidak akan terlibat dengan projek terbaharu Kerry King tersebut.

Logo kumpulan terbaharu Kerry King yang diperkenalkan pada November tahun lepas.

Dalam temu bual dengan Metal Hammer baru-baru ini, Kerry King juga mendedahkan bahawa penampilan pemuzik undangan juga “tidak dialu-alukan” di dalam album sulung kumpulan terbaharunya yang akan datang itu. Ini adalah kerana beliau percaya jikalau pemuzik undangan terlibat di dalam pembikinan album itu, ianya akan menyukarkan beliau untuk bermain live bersama kumpulan baharunya itu nanti.

“Saya komited untuk menyampaikan pengalaman yang padu dan tulen untuk peminat. Saya hanya inginkan elemen yang dihasilkan oleh band saya sendiri untuk band saya sendiri tanpa campuran elemen luaran,” katanya.

Mengenai arahan muzik album band terbaharunya itu, King menyatakan kesetiaannya kepada bunyi khas Slayer dimana dia melihat projek baharu itu sebagai lanjutan daripada Slayer, dengan kira-kira 80 peratus bahan mengingatkan apa yang mungkin menjadi album Slayer seterusnya selepas album terakhir Slayer iaitu ‘Repentless’.

Meskipun berkata sedemikian, beliau juga menjanjikan kepelbagaian di dalam album itu, menggabungkan trek pantas, gubahan berat, pengaruh punk dan unsur doom metal dalam album itu juga.

Mengimbas kepelbagaian album itu, King memperincikan lagu-lagu tertentu, menggambarkan lagu paling perlahan di dalam sebagai serupa dengan lagu Slayer sepert ‘When The Stillness Comes’ daripada album Slayer yang berjudul Repentless itu. Dia juga membayangkan komposisi unik yang diilhamkan daripada album kumpulan Scorpions yang berjudul ‘Animal Magnetism’ yang diadun dengan ‘chug’ sengit yang mengingatkan sesiapa sahaja dengan album Slayer yang berjudul ‘Hell Awaits’.

Kerry King mengatakan bahawa album sulung kumpulan terbaharu beliau boleh dianggap sebagai kesinambungan kepada album Repentless, iaitu album terakhir Slayer.

Walaupun identiti anggota kumpulan terbaharu Kerry King masih lagi tidak didedahkan, dia menyatakan harapan bahawa semua yang terlibat dalam rakaman itu akan menjadi sebahagian daripada kumpulan itu sepanjang perjalanannya. Peminat juga boleh mengharapkan penerokaan muzik yang menyelidiki setiap aspek portfolio Slayer, yang terkenal dengan lagu-lagu yang penuh dengan elemen kelajuan, suasana yang menakutkan dan mengagungkan irama metal itu sendiri.

Dengan pendedahan yang Kerry King akan menghasilkan sebuah album bersama kumpulan terbaharunya menjelang tahun 2024, sudah tentu komuniti metal seluruh dunian akan tidak sabar-sabar menanti keluaran album sulung kumpulan tersebut. Maka peminat Slayer dan juga peminat muzik metal secara amnya kini boleh bersedia untuk menerima lembaran baharu dalam kerjaya pemain gitar itu.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page