October 1, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Kruniverse & Unity Trust Berhad Umum Pelaburan Strategik Rm50 Juta

Spread the love

Landskap hospitaliti di Lembah Klang dijangka menerima nafas baharu apabila Kruniverse Sdn. Bhd., cabang perniagaan Kumpulan Syarikat KRU, memeterai kerjasama strategik bersama Unity Trust Berhad membabitkan pelaburan berjumlah RM50 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Kerjasama ini menyasarkan pembangunan destinasi hospitaliti dan gaya hidup berteraskan hiburan serta teknologi pintar di Shah Alam dan Klang. Dua kawasan berpotensi tinggi dalam sektor pelancongan domestik dan antarabangsa.

Presiden Lembaga Pengarah Kruniverse, Y.M. Tengku Dato’ Dr. Hishammuddin Zaizi bin Y.A.M. Tengku Bendahara Azman Shah Alhaj berkata inisiatif ini menggabungkan kekuatan jenama KRU, harta intelek kreatif dan teknologi AI bagi menawarkan pengalaman pelancongan generasi baharu.

“Kami berada pada masa dan lokasi yang tepat untuk menggabungkan hiburan, inovasi, dan hospitaliti dalam satu ekosistem mampan. Matlamat kami adalah mencipta nilai jangka panjang, bukan sekadar pulangan segera,” ujar beliau sewaktu sidang media pengumuman kerjasama Kruniverse Sdn. Bhd. dengan Unity Trust Berhad, di Putrajaya Wetlands Park pada 12 Ogos lalu.

Unity Trust Berhad, yang memiliki rekod cemerlang dalam pengurusan amanah dan tadbir urus korporat, akan bertindak sebagai rakan tadbir urus bebas, memastikan projek ini memenuhi piawaian ketelusan, pematuhan regulatori dan perlindungan pemegang saham – satu langkah strategik bagi persediaan penyenaraian awam pada masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutif KRU Corp, Dato’ Norman Abdul Halim, menyifatkan kerjasama ini sebagai pemangkin kepada pembangunan ekosistem pelancongan yang mampu memberi impak positif kepada pelabur dan komuniti setempat melalui peluang pekerjaan, peningkatan nilai hartanah dan limpahan ekonomi.

“Kami mahu projek ini menjadi model rujukan bagi integrasi hiburan, teknologi dan hospitaliti yang mampan,” ujarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Unity Trust Berhad, Syed Sadiq Obaidi Albar Syed Hamid, pula menegaskan inisiatif ini selaras dengan trend pelaburan berimpak tinggi yang turut mengutamakan tanggungjawab sosial dan alam sekitar

Projek pertama Kruniverse di bawah kerjasama ini dijadual dilancarkan pada November 2025, sebagai bukti konsep bagi strategi jangka panjang syarikat menembusi pasaran serantau.

Konsert GenKRU Pulau Pinang Dibatalkan – Fokus Kepada Konsep Baharu

Dalam perkembangan lain, Konsert GenKRU yang dijadualkan berlangsung di Pulau Pinang hujung bulan ini disahkan dibatalkan. Dato’ Norman Abdul Halim memaklumkan keputusan itu diambil demi mengekalkan kualiti dan impak yang telah dicapai menerusi persembahan empat malam berturut-turut di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Mei lalu.

“Konsert GenKRU di Kuala Lumpur menjadi penanda aras yang tinggi. Kami tidak mahu menurunkan tahap itu dengan mengulangi format yang sama dalam skala lebih kecil,” katanya.

Menurut Norman, penganjuran di luar Kuala Lumpur secara logiknya melibatkan kos produksi lebih rendah, yang boleh menjejaskan skala dan nilai keseluruhan produksi. Tambahan pula, perbandingan dengan konsert mega di Bukit Jalil yang dihadiri hampir 40,000 penonton dan menggunakan teknologi pentas hidraulik mungkin menyebabkan peminat berasa kurang puas.

“Kami tak mahu peminat berkata, ‘Alah, kat KL lagi best lah’. Kami sendiri pernah rasa perkara sama ketika di Singapura,” jelasnya.

Beliau menambah, KRU kini memilih untuk berehat seketika sebelum kembali dengan konsep baharu dari segi senarai lagu dan format persembahan agar penonton terus teruja dengan kelainan yang dibawakan.

Konsert GenKRU di Bukit Jalil sebelum ini diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai salah satu persembahan terbesar oleh artis tempatan, sekali gus melakar sejarah tersendiri buat trio legenda tersebut.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page