KRU Terima Lamaran Icon Entertainment
Konsert Genkru Bakal Berlangsung Di Axiata Arena Pada 3 Mei 2025
Pujukan Icon Entertainment sejak November 2022 akhirnya membuahkan hasil apabila KRU bersetuju untuk bekerjasama sekaligus beraksi di konsert Genkru yang bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 3 Mei 2025.
Perkara itu dinyatakan oleh Iman Tang yang juga pengasas Icon Entertainment sewaktu sidang media konsert berkenaan di Pavilion Kuala Lumpur pada 16 Disember lalu.
“Saya masih simpan mesej dalam aplikasi WhatsApp. Ketika itu Yusry beritahu mereka sudah ‘pencen’. Edry pula sudah menetap di United Kingdom dan Norman sibuk dengan urusan perniagaan.
“Tetapi saya tidak putus asa dan tetap berusaha memujuk mereka bertiga dan akhirnya pada September tahun ini mereka bersetuju untuk menjayakan konsert terbesar yang diberi nama Konsert Genkru,” ujar Iman Tang.
“Kita tidak mempunyai banyak artis ikonik di Malaysia. KRU mempunyai ramai peminat dan lagu-lagu mereka sangat popular. Saya sendiri merupakan peminat mereka sejak remaja. Saya pasti ramai peminat terutamanya dari era 90-an rindukan persembahan mereka. Konsert ini bakal menjadi kenangan terindah buat mereka,” jelasnya.
Sementara itu bagi KRU pula, mereka tidak pernah menyangka akan bersatu semula sebagai satu kumpulan selepas kali terakhir beraksi di konsert di Istana Budaya pada 2018.
“Bila pihak Icon Entertainment bentangkan idea kepada kami, kami agak tertarik dengan perancangan rapi yang mereka lakukan. Jadi kami fikir kenapa tidak kami mengambil peluang ini untuk memberikan kenangan terindah buat peminat-peminat kami.
“Kami juga percaya akan kredibiliti Iman Tang, banyak konsert berskala besar yang melibatkan artis tempatan dan luar negara yang telah di anjurkannya, selain kreatif dan kesungguhan terhadap muzik untuk berikan yang terbaik kepada penonton”.
“Sesuatu yang mereka akan perbualkan pada 10 atau 20 tahun mendatang. Di samping cipta karya muzik, kami cipta pengalaman juga buat kami sendiri dan peminat khususnya,” tambah mereka.
Sebagai satu elemen unik, peminat yang menghadiri Konsert Genkru diminta mematuhi tema kod pakaian era 90-an.
Peminat berpeluang mengenakan pakaian ikonik jenama-jenama popular dari era tersebut seperti Maui & Sons, Vision Street Wear, FUBU, dan Timberland, bagi merasai sepenuhnya nostalgia zaman itu.
Tiket boleh didapati mulai 20 Disember ini, Jumaat, 11 pagi, harga bermula RM258, dan pembelian boleh dilakukan di laman web rasmi www.ticket2u.com.my/kru.