KRU Menggegar Lagi! 12,000 ‘Askar’ Banjiri GenKRU The Finale: One More Time
Oleh: Adam Kulim
Kredit Foto: Bangsawan Pictures
Gergasi rap Malaysia kembali mengaum. Itulah gambaran paling tepat buat Konsert GenKRU The Finale: One More Time yang berlangsung penuh gemuruh di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 22 November lalu.
Konsert anjuran Icon Entertainment itu ‘menyelar’ seluruh arena diselubungi gelora manusia lebih 12,000 jiwa datang bukan sebagai penonton, tetapi sebagai saksi kepada kebangkitan semula tiga bersaudara yang pernah mengubah landskap muzik kontemporari negara. Deretan peminat hadir dalam busana FUBU, Raiders, Billabong dan Stussy seolah seluruh kota waktu itu kembali berputar ke dekad 90-an, zaman ketika budaya urban Malaysia meledak dengan gaya, bahasa dan rentak tersendiri.

Konsert dimulakan dengan rentetan lagu Fobia dan Salah Siapa, seolah jampi pembuka tirai yang membebaskan nostalgia daripada lipatan ingatan. Sebaik Awas dan Mengerti bergema, seluruh stadium bergetar seperti sebuah makmal emosi yang meletus serentak.
Penonton tidak lagi duduk mereka berdiri, menari, mengaum bersama lirik yang mengalir seperti darah budaya yang tidak pernah mati.
Pasukan keselamatan hanya mampu memerhati kerana malam itu, tenaga yang terhasil bukan milik manusia biasa, tetapi milik sebuah generasi yang pernah dibesarkan oleh ritma KRU.

Namun detik paling menghentak dada hadir melalui Intifada. Lampu-lampu malap. Nafas penonton seakan terhenti. Lalu muncul Rabbani dari bawah pentas hidraulik sebuah bayangan spiritual yang disulami gema Palestin melalui visual LED bertulisan jawi, seribu makna tersirat menyelinap ke dalam setiap jiwa. Itu bukan lagi lagu tetapi itu doa yang dijelmakan dalam bentuk muzik.
Apabila One More Time dipersembahkan, ia bukan sekadar hiburan. Ia kedengaran seperti surat cinta terakhir, pesanan yang berbisik lembut kepada peminat. “Jika kami tiada nanti… ingatlah, kami pernah berada di sini.”
Penonton tidak menjerit. Sebaliknya mereka menyerap momen itu seperti sedang memeluk kenangan yang tidak mahu dilepaskan.

Namun sentimental itu tidak lama. Di Dalam Delima membawa penonton naik kembali ke puncak sebelum dua figura Dato’ Vida dan Leona muncul seperti kembang api emosi untuk Gerenti Beres. Suah pasti sorakan tercetus seperti guruh merempuh gunung. Ia bukan kejutan tetapi ia adalah letusan budaya pop.
Saat Janji Tinggal Janji dimainkan, tiba-tiba masa kembali berjalan mundur. Kaset, walkman, radio yang pernah usang di rak kini hidup dalam memori. Dan malam itu, seribu cerita remaja kembali bermula.

Edry bangkit terlebih dahulu mengundang Juliana Banos untuk Sehidup Semati. Nostalgia bukan lagi memori malah ia menjelma menjadi makhluk hidup.
Norman pula seperti panglima yang turun gelanggang bersama Mc Normy dan DJ Boss Oney.
Medley Freaky G, Diari Metropolitan, Go KRU, Enuff Eez Enuff dan KRU Is Wild menghentam penonton tanpa belas kasihan. Kemunculan Elite menambah kepanasan pentas, sebuah babak yang hanya boleh dicipta oleh legenda.

Yusry pula tampak elegan, tenang, tapi penuh karisma mendendangkan Perception Of Love, Ulangkan Sekali Lagi, dan Sayang dimana semuanya seperti helaian diari lama yang dibuka semula.
Lagu wajib Ooh La La membuatkan stadium kembali bergoncang. Permintaan peminat akhirnya tertunai dimana Emilia diangkat ke pentas, dibalut sentimental yang lunak namun berkuasa. Kemudian Negatif meledakkan semula tenaga stadium, seolah memberi oksigen baharu kepada semua yang hadir.
Pergerakan mereka ke pentas mini di belakang stadium adalah detik penyatuan. Lagu Jangan Lafazkan, Tiga Kata, dan Untukmu merentap perasaan kerana ia bukan lagi konsert, tetapi perhimpunan emosi yang mengikat seluruh stadium menjadi satu entiti.

Ketika semua menyangka Fanatik adalah noktah terakhir, muncul Adam AF membawa Terhangat Di Pasaran. Detik itu mencetuskan letupan sorakan yang hanya berlaku sekali dalam satu era.
Langit malam disimbahi percikan bunga api seolah-olah kota meraikan kelahiran semula sebuah legenda.
Dalam temubual selepas konsert, Norman menjelaskan setiap Konsert GenKRU direka khas untuk memberi pengalaman baharu kepada peminat.
Penerbit Iman Tang pula memberi bayangan besar tidak menolak kemungkinan Konsert KRU di Sabah pada 2026, memandangkan negeri itu antara yang paling setia menyokong mereka sejak 1992.

Konsert GenKRU tahun ini nyata bukan sekadar persembahan ia adalah perayaan memori, muzik dan legasi. Dan jika ini hanyalah permulaan…2026 dijangka lebih dahsyat. KRU bukan sekadar kembali tetapi mereka bangkit sebagai gergasi. KRU — The Real Rap Group!
