KRU Belayar Bersama Peminat Dalam Star KRUise Showcase
Legenda muzik tanah air, KRU, bakal mencipta satu lagi sejarah gemilang apabila trio beradik ini — Dato’ Norman Abdul Halim, Datuk Yusry Abdul Halim dan Edry Abdul Halim — berlayar bersama peminat dalam acara eksklusif Star KRUise Showcase, yang akan berlangsung di atas kapal mewah Star Voyager Cruise (SVO) pada Januari 2026.
Dianjurkan oleh SUKA Cruise dengan sokongan StarDream Cruise dan Sony Music Malaysia, Star KRUise Showcase menjanjikan pengalaman luar biasa selama lima hari empat malam, menggabungkan hiburan, kemewahan dan interaksi eksklusif antara artis dan peminat. Dua laluan pelayaran disediakan — dari 25 hingga 29 Januari 2026 (berlepas dari Singapura) dan 26 hingga 30 Januari 2026 (berlepas dari Port Klang), merentasi destinasi menarik termasuk Singapura, Malaysia dan Phuket, Thailand.
KRU yang sinonim dengan inovasi dan pembaharuan dalam industri hiburan sejak penubuhannya pada tahun 1992, terus membuktikan kehebatan mereka selepas kejayaan luar biasa Konsert GenKRU di Axiata Arena pada Mei lalu. Konsert itu bukan sahaja mencatat dua rekod dalam Malaysia Book of Records, malah mengukuhkan lagi status KRU sebagai ikon muzik Malaysia. Kini, menjelang GenKRU The Finale: One More Time di Stadium Hoki Bukit Jalil pada 22 November 2025, mereka kembali dengan satu lagi idea revolusioner — mempersembahkan konsert di atas kapal persiaran.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SUKA Travel & Tours Sdn. Bhd., Adam Kamal, penganjuran ini menandakan satu pencapaian baharu dalam dunia hiburan tempatan. “Kami mahu mencipta pengalaman yang benar-benar berbeza untuk peminat dan artis. Pelayaran ini bukan sekadar percutian mewah, tetapi satu perjalanan penuh kenangan di mana peminat dapat berinteraksi secara langsung dengan idola mereka,” katanya.
Bagi pihak KRU, idea ini disambut dengan penuh keterujaan. Dato’ Norman Abdul Halim berkata, persembahan di atas kapal persiaran adalah sesuatu yang belum pernah mereka lakukan sepanjang lebih tiga dekad dalam industri. “Kami amat teruja untuk membuat persembahan di atas kapal mewah yang berlayar merentasi Singapura, Malaysia dan Thailand. Ia menjanjikan pengalaman unik dan bermakna, bukan sekadar konsert tetapi satu perjalanan yang akan kami kongsi bersama peminat,” ujarnya.
Tambahnya lagi, Star KRUise Showcase direka bagi mencipta suasana lebih peribadi dan santai. “Kami ingin peminat merasai kehangatan setiap lagu dalam suasana yang lebih dekat dan eksklusif. Ini bukan soal populariti, tetapi soal memberi pengalaman berharga yang sukar dilupakan,” jelas Norman.

Pelayaran tersebut turut menampilkan pelbagai kemudahan mewah, sajian antarabangsa halal serta aktiviti hiburan di atas kapal. Penumpang juga berpeluang menikmati persinggahan di Phuket dan Singapura, menjadikan pelayaran ini satu pengalaman lengkap untuk berehat dan berhibur.
Beberapa pakej istimewa ditawarkan untuk peminat yang ingin menyertai pelayaran bersejarah ini, termasuk pilihan kabin Interior Stateroom, Oceanview Stateroom, Balcony Stateroom dan Palace Suite, dengan harga bermula daripada RM2,588 seorang. Pakej termasuk tiket showcase KRU dan cukai pelabuhan, manakala pilihan naik taraf VVIP Pass berharga RM400 seorang turut ditawarkan bagi mereka yang ingin menikmati tempat duduk premium, cenderahati eksklusif serta sesi meet and greet bersama KRU.
“Selain persembahan eksklusif, kami mahu memastikan penumpang menikmati pengalaman percutian lengkap dengan hiburan bertaraf dunia dan layanan terbaik,” kata Adam.
Tempat untuk Star KRUise Showcase adalah terhad, dan tempahan boleh dibuat melalui agen pelancongan terpilih SUKA Cruise di seluruh negara. Pelayaran ini dijangka menjadi antara acara paling dinantikan tahun 2026, bukan sahaja oleh peminat KRU, tetapi juga penggemar muzik dan pelancongan mewah di rantau ini.
