Krisiun Bawa Keganasan Death Metal ke Malaysia

Peminat death metal ala “old-school” di Malaysia telah disajikan dengan persembahan bertaraf tinggi pada malam 17 Ogos di Bentley Music Auditorium, Kuala Lumpur apabila kumpulan legenda dari Brazil, Krisiun, menggegarkan pentas di sebuah konsert anjuran bersama Livewire Event dan LampuNeon Entertainment dimana konsert tersebut telah menerima sambutan hangat daripada komuniti muzik ekstrem tempatan.
Acara bermula sekitar jam lima petang dengan dua kumpulan pembuka yang berjaya memanaskan suasana iaitu Dying Fate dan Tools of the Trade. Dying Fate, sebuah kumpulan baharu dari Johor, menonjolkan tenaga segar melalui riff padat dan penghayatan vokal yang mantap, satu persembahan yang menunjukkan mereka layak diberi perhatian dalam arena ekstrem. Tools of the Trade pula, sebuah trio grindcore dari Lembah Klang yang ditubuhkan sekitar 2004, menerima pujian kerana permainan teknikal dan keganasan pentas mereka. Rekod jelajah kumpulan ini ke luar negara serta penyertaan mereka di festival antarabangsa mengukuhkan reputasi sebagai salah satu nama paling konsisten dalam scene ekstrem Malaysia.
Tepat pada jam lapan malam, Krisiun naik ke pentas dan terus menghentam dengan rentak serta ketepatan yang menjadi tanda dagangan mereka. Antara lagu yang dimainkan malam itu ialah Kings of Killing, Ravager, Endless Madness Descends, Scourge of the Enthroned, Necronomical, Messiah’s Abomination, Serpent Messiah, Blood of Lions, Bloodcraft, Hatred Inherit dan Descending Abomination. Selepas peminat melaungkan tuntutan untuk encore dengan laungan “we want more we want more”, Krisiun menutup malam dengan Combustion Inferno sebagai lagu penutup yang membakar.

Krisiun diasaskan pada 1990 dan dianggotai oleh tiga beradik iaitu Alex Camargo pada bass dan vokal, Moyses Kolesne pada gitar serta Max Kolesne pada dram. Mereka terkenal dengan gaya death metal yang pantas dan kejam yang banyak dipengaruhi oleh kumpulan ekstrem awal seperti Sodom, Kreator, Morbid Angel dan Slayer. Diskografi mereka merangkumi beberapa keluaran penting sepanjang kerjaya termasuk Black Force Domain, Apocalyptic Revelation, Conquerors of Armageddon, The Great Execution, Scourge of the Enthroned dan Mortem Solis.
Persembahan Krisiun malam itu menerima pujian kerana kekuatan bunyi dan ketepatan teknikal. Walaupun hanya sebuah trio, mereka berjaya menghasilkan tembok bunyi yang padat dan intens, sambil mengekalkan tenaga pentas yang tinggi. Malam tersebut juga menandakan penghujung jelajah Asia mereka sebelum berlepas pulang ke Brazil keesokan harinya, dengan Kuala Lumpur menjadi antara tarikh penting dalam siri konsert yang menyokong album Conquerors of Armageddon.
Secara keseluruhan, acara Krisiun di Bentley Music Auditorium dianggap berjaya bukan sahaja kerana sambutan peminat tetapi juga kerana barisan pembuka yang berkualiti dan penganjuran yang lancar. Persembahan malam itu memperlihatkan bahawa komuniti metal di Kuala Lumpur masih bertenaga dan bersedia menyambut aksi antarabangsa dalam genre ekstrem.