September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Kreator Strongest of The Strong Live In Malaysia

3 min read
Spread the love

Spekulasi terjawab dan penantian sudah berakhir apabila Kreator, legenda thrash metal dari Jerman disahkan akan melakukan konsert mereka di Malaysia selepas lebih hampir 19 tahun tidak menjejakkan kaki ke negara ini. Kali pertama dan terakhir mereka beraksi adalah di Backroom (sebelum ini Federal Cinema), Chow Kit, Kuala Lumpur pada 25 September 2005.

Rockstage Entertainment dengan kerjasama Lampuneon mempersembahkan Kreator Strongest of The Strong Live In Malaysia, yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 25 Januari 2024. Persembahan ini merupakan sebahagian daripada tour bagi mempromosikan album baharu mereka ‘Hate Über Alles’.

“Ini merupakan kerjasama pertama yang melibatkan Rockstage Entertainment dan Lampuneon, saya berharap agar ianya ‘membuahkan’ hasil yang boleh membanggakan kedua-dua pihak.  Meskipun amat sukar untuk mendapatkan Kreator, saya harap peminat dapat memberikan ‘komitmen’ mereka pula”, ujar Talib Othman.

“InshaAllah, kami sedaya upaya memberikan ‘keselesaan’ buat peminat yang hadir apatah lagi ianya di buat di lokasi yang cukup strategik di samping pelbagai fasiliti yang lengkap untuk  keselesaan semua”, tambahnya

Peminat Malaysia amat bertuah kerana Rockstage Entertainment dan Lampuneon mengambil peluang membawakan mereka ke negara ini. Sudah tentu mereka akan membawa para peminat melungsuri nostalgia bersama lagu-lagu lama dan baru secara total dalam konsert tersebut yang amat dinanti-nantikan. Kreator bukan asing bagi peminat di negara ini termasuk di beberapa negara Asia Tenggara lain.

Talib Othman, Pengarah Rockstage Entertainment juga menjelaskan bahawa pemilihan Kreator adalah bertepatan kerana ianya adalah ikon kumpulan-kumpulan thrash metal awal di negara ini pada lewat 80-an,selain itu ianya amat dekat bukan sahaja peminat lama ekstrem metal tetapi juga peminat baharu.

Sepanjang kewujudan mereka ramai pemuzik yang telah mengisi kekosongan kumpulan ini sebagai anggota tetap. Kini Kreator dibarisi vokalis dan juga pemain gitar Miland ‘Mille’ Petrozza, pemain dram Jürgen ‘Ventor’ Reil, pemain gitar Sami Yli-Sirniö dan pemain bass Frédéric Leclercq.

Digelar Teutonic Big Four iaitu empat ikonik thrash dari Jerman bersama Destruction, Sodom dan Tankard, Kreator tidak pernah takut untuk mencuba kelainan dalam muzik mereka walaupun amat dikenali dalam muzik thrash. Selain thrash dan speed metal, mereka pernah bereksperimentasi dengan gothic dan industrial tetapi muzik mereka sentiasa kekal berat.

Semua itu boleh dilihat dan terbukti dalam album-album mereka bermula dengan ‘Endless Pain’ (1985) dan ‘Pleasure to Kill’ (1986) yang memuatkan riff gitar yang laju dan pukulan dram yang keras serta berat dan lirik bertemakan politik. Muzik mereka kemudian menjadi lebih bermelodi dalam album seperti ‘Extreme Aggression’ (1989) dan ‘Coma of Souls’ (1990).

Mereka membuat kejutan apabila bereksperimen dengan pengaruh industrial dan gothic dalam album seperti ‘Renewal’ (1992) dan ‘Outcast’ (1997) sebelum kembali ke akar muzik lama mereka dengan ‘Violent Revolution’ (2001) dan ‘Hordes of Chaos’ (2009).

 Sehingga kini Kreator telah mengeluarkan 15 album studio, dua album mini atau EP, dua album live dan tiga album kompilasi setakat ini yang semuanya telah berjaya terjual di seluruh dunia melebihi dua juta unit sekali gus menjadikan mereka kumpulan thrash metal Jerman terlaris sepanjang masa.

Selepas beberapa dekad, kumpulan thrash veteran ini telah menemukan cara untuk terus mengekalkan status mereka di hadapan termasuk menyesuaikan diri dengan peminat masa kini tanpa perlu tersasar daripada akar umbi muzik mereka. Legasi mereka diteruskan dengan penghasilan album baharu, melakukan tour di seluruh dunia termasuk dalam konsert besar dan bertemu peminat setia mereka di mana-mana.

Kreator meraikan empat dekad dominasi thrash pada tahun 2022 dengan album studio ke-15 mereka ‘Hate Über Alles’ sebelum melakukan siri jelajah besar-besaran ke seluruh dunia, mengukuhkan lagi Kreator sebagai satu ‘kuasa’ utama yang berdaya tahan dalam sejarah metal.

Ini merupakan sebagai sebahagian daripada jelajah tour ke seluruh dunia yang mempromosikan ‘Hate Über Alles’. Terdapat empat kategori tiket yang akan dijual sama ada dibeli secara online atau di pintu masuk pada hari konsert berlangsung. Harga bagi tiket yang dibeli secara online untuk kategoeri VIP Box berharga RM750. Tiket VIP Box hanya dijual secara online atau dalam talian sahaja.

 Sementara tiket yang dibeli secara online untuk kategori CAT 1 iaitu free standing (RM330), kategori CAT 2 iaitu premium seats (RM380) manakala kategori CAT 3 iaitu normal seats (RM350). Bagi tiket yang dibeli di pintu masuk pada hari konsert berlangsung, kategori CAT 1 iaitu free standing (RM380), kategori CAT 2 iaitu premium seats (RM430) manakala kategori CAT 3 iaitu normal seats (RM400).  Tiket-tiket boleh dibeli secara online dengan melayari www.myticketempire.com Jualan tiket akan dibuka dalam masa terdekat dan peminat Kreator boleh membeli tiket dengan menggunakan perkhidmatan ATOME dengan melakukan pembayaran tiga kali. Justeru peminat metal jangan lepaskan peluang keemasan ini untuk menonton lagenda thrash dunia beraksi di Malaysia!


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page