December 25, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Koreografi Avantgardey ‘Bikin’ Khalayak Pegun

Spread the love

Tidak perlu dinafikan keunikan kumpulan yang dimonopoli 17 penari wanita berbakat dari Osaka, Jepun, menjadi tular selepas persembahan mereka di ‘America’s Got Talent’ dan mendapat pengiktirafan sebagai bintang baharu oleh Vogue Japan pada tahun 2023.

Avantgardey membuktikan bahawa mereka layak untuk ‘menakluk’ dunia muzik dengan persembahan yang cukup energatik selain mempamerkan kredibiliti menari dengan gaya tersendiri.  Justeru itu Avantgardey turut memahat bakat mereka di pentas Zepp Kuala Lumpur pada 22 Disember lalu.

Dianjurkan oleh 43 dan Sum Supreme Media (HK), dengan Westec Media selaku penganjur bersama, persembahan Avantgardey yang berlangsung selama 80 minit itu telah mewarnai jiwa-jiwa fanatika mereka yang seawal jam 6 petang telah memenuhi perkarangan dewan acara.

Tepat jam 8 malam Avantgardey memanaskan pentas dengan seleksi tarian eksentrik dan tampil unik dengan seragam sekolah dan gaya rambut bob, memberikan daya tarikan yang tersendiri dalam setiap persembahan mereka.

Konsert dimulakan dengan penuh bertenaga melalui lagu pembukaan sebelum beralih kepada lagu IDOL oleh YOASOBI yang terkenal. Beberapa medley menarik seperti Bling-Bang-Bang-Born yang menggabungkan elemen daripada Creepy Nuts dan Money, Money, Money oleh ABBA turut dipersembahkan dengan gaya Avantgardey.

Tidak terhenti di situ, mereka juga bijak berinteraksi dengan penonton yang hadir, malah turut memberikan ‘tutorial’ tarian yang nyata memberikan impak kepada persembahan mereka pada malam tersebut.  Meskipun tampak ‘santai’ namun ianya meninggalkan kesan yang cukup dalam buat khalayak yang hadir pada malam tersebut.

Persembahan menjadi lebih istimewa apabila mereka mempersembahkan Malaysia Medley, penghormatan kepada budaya tempatan yang mendapat tepukan gemuruh daripada penonton.   Antara lagu yang dipersembahkan adalah Rasa Sayang dan Alamak ..Raya Lagi yang dipopularkan oleh De Fam yang begitu tular.  Tidak ketinggalan, lagu-lagu klasik seperti I Will Always Love You oleh Whitney Houston dan Anata Dake Mitsumeteru oleh Ogurom.

Kehadiran trio yang dikenali sebagai 3P menambahkan aura konsert ‘Avantgardey Asia Tour Malaysia’.  Mereka turut berkolaborasi menerusi lagu ‘Pa Sang Anthem’.

Menerusi segmen Anime Song Medley, Avantgardey membawakan beberapa lagu tema anime terkenal, memukau peminat budaya pop Jepun di Malaysia. Mereka juga mempersembahkan Para Para Sakura sebagai encore, yang membuat seluruh dewan menari bersama.

Selain itu, terdapat sesi interaktif seperti Kamome Lecture Time yang menyerlahkan personaliti para ahli Avantgardey. Mereka menamatkan persembahan menerusi lagu Kamome Ga Tonda Hi oleh Watanabe, meninggalkan kenangan manis kepada semua yang hadir.

Persembahan yang singkat itu nyata memberikan kepuasan maksima kepada khalayak, penampilan yang konsisten di platform media sosial. Avantgardey bukan sekadar tarian tetapi ekspresi wajah mereka yang menghiburkan dan koreografi yang unik membuatkan mereka mudah diingati oleh peminat


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page