October 18, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Konsert YAPH Dan Teman-teman: Perpaduan Irama Hiphop Tradisional

Spread the love

Silent Set Entertainment dengan bangganya mengumumkan “Konsert YAPH dan Teman-Teman,” sebuah acara yang dijangka akan meninggalkan kesan yang mendalam. Konsert ini, yang diterajui oleh YAPH, salah seorang artis terkenal di bawah naungan Silent Set Entertainment, akan menampilkan lebih daripada 20 artis yang pernah berkolaborasi dengan YAPH, yang akan diumumkan kemudian.

YAPH, seorang penyanyi, penulis lagu, dan penerbit yang memilih untuk tidak menonjolkan wajahnya, dikenali sebagai “SENSEI” oleh peminatnya. Beliau menghasilkan semua lagunya sendiri dengan pelbagai genre termasuk hiphop, tradisional moden, spiritual, balada, dan pop. Selain itu, YAPH juga bersedia untuk menghasilkan lagu dalam genre baru dan berkolaborasi dalam projek muzik bersama artis lain. Selain sebagai penyanyi, YAPH turut terlibat dalam penulisan lirik dan penerbitan muzik.

Konsert ini akan mempamerkan lebih daripada 27 lagu yang menggabungkan irama hiphop moden dengan muzik tradisional Malaysia. Setiap lagu dipilih dengan teliti untuk memberikan pengalaman muzik yang luar biasa, menghidupkan kembali warisan budaya dengan elemen kontemporari yang segar.

Konsert ini disokong oleh Kementerian Komunikasi Malaysia dan MyCreative Venture Sdn. Bhd., sebagai contoh bagaimana muzik dapat menghubungkan generasi dan budaya. Dibarisi oleh pengarah muzik muda yang penuh inspirasi, Aliff Redza, konsert ini akan dimainkan secara langsung dengan Bunyi FX bersama pemuzik profesional dan tradisional dari seluruh Malaysia.

YAPH menjelaskan matlamat konsert kali ini: “Naskah MRPHN sudah berakhir. Dalam dua tahun kebelakangan ini, saya telah mengadakan dua konsert solo dan beberapa konsert jelajah negeri dengan jumlah keseluruhan lebih 3,000 pengunjung. Kali ini, saya ingin membawa teman-teman seperjuangan saya dalam muzik ke konsert ini sebagai tanda penghargaan serta memberitahu penyokong saya tentang mereka yang telah menemani perjalanan muzik saya.”

Zulakid Aizat, Pengarah Silent Set Entertainment, menyatakan bahawa persembahan ini adalah kejutan dan hadiah untuk peminat YAPH. Silent Set Entertainment juga ingin menawarkan pelbagai pilihan konsert hiburan kepada rakyat Malaysia, tidak hanya terhad kepada konsep yang sama.

“Selain YAPH yang misteri, penyokong beliau juga misteri. Kami sentiasa menantikan siapa yang akan hadir setiap kali konsert dan jelajah. Dari usia awal 20-an hingga 55 tahun, dan pendengar paling tua berusia 75 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai makan,” tambah Zulakid Aizat.

Silent Set Entertainment yakin bahawa konsert ini akan membangkitkan semangat dan imaginasi penonton serta memberi inspirasi kepada generasi muda untuk menghargai dan meneroka muzik tradisional Malaysia. Pelbagai aktiviti akan diadakan semasa dan sebelum konsert, termasuk program Adiguru peralatan muzik tradisional, bengkel penulisan puisi, dan pertandingan reka busana, yang akan diumumkan dari masa ke semasa.

Konsert ini akan berlangsung di RCD Big Studio, Shah Alam, Selangor pada 26 Oktober 2024, jam 8 malam. Harga tiket adalah RM249 (Menjelang Siang), RM149 (Merayu Senja), dan RM99 (Hening Malam). Semua peminat muzik dan budaya dijemput untuk menyertai “Konsert YAPH dan Teman-Teman” dan menjadi sebahagian daripada sejarah baru dalam industri muzik Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai konsert ini dan pengumuman artis yang terlibat, sila layari laman web rasmi Silent Set Entertainment atau ikuti kami di media sosial untuk pengumuman seterusnya melalui saluran komunikasi rasmi kami.

Silent Set Entertainment berharap dapat melihat kehadiran anda semua di “Konsert YAPH dan Teman-Teman” untuk merasai gabungan irama yang epik, berwarna-warni, dan penuh misteri ini.

“SILENT SET ONE TIME!”


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page