October 18, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Konsert Udit Narayan Di Megastar Arena Kuala Lumpur 28 Disember Ini  

Spread the love

Tiket mula dijual 24 September 2024, Selasa, jam 4 petang

Ikon legenda muzik Bollywood yang terkenal dengan gelaran Raja Melodi, Udit Narayan bakal menemui para peminatnya di ibu kota, Kuala Lumpur pada 28 Disember 2024. Konsert yang dibawa oleh VVST Digital Creation akan membawa para peminat lagu Hindustan ke zaman kegemilangan industri filem dan lagu Bollywood iaitu era 90-an sehinggalah ke hari ini.

Udit Narayan, yang telah menyanyikan lebih 25,000 lagu dalam 36 bahasa sepanjang lebih tiga dekad kerjayanya, terkenal dengan suara yang dipinjamkan kepada 3 King of Khans Bollywood iaitu Datuk Shah Rukh Khan, Salman Khan dan Amir Khan serta pelakon-pelakon yang lain.

Antara lagu ikonik beliau, “Papa Kehte Hain,” persembahan beliau dalam filem “Qayamat Se Qayamat Tak” bukan sahaja melonjakkan nama beliau, tetapi juga membawa kepada fenomena muzik yang luar biasa dalam arena muzik Bollywood.

Dalam konsert di Kuala Lumpur ini, Udit yang akan menemui peminat selepas 12 tahun, kali terakhir adalah dalam persembahan tertutup di sebuah hotel. Beliau akan mempersembahkan koleksi lagu-lagu hit yang pernah mendominasi carta-carta muzik Bollywood. Udit yang sebelum ini mengadakan konsert di Dubai dan Eropah di luar India, menyampaikan rasa keterujaan beliau untuk kembali ke Malaysia dan bertemu dengan peminat di Kuala Lumpur.

Pihak penganjur berkata, peminat yang menghadiri konsert ini bakal disajikan dengan pengalaman yang terbaik untuk menutup tirai tahun 2024 dan menjadi salah satu memori terbaik untuk tahun 2025.

Bagi menambahkan keterujaan peminat, pihak penganjur juga menawarkan peluang kepada mereka untuk menyenarai pendek beberapa lagu pilihan menerusi kempen dan pertandingan yang diaturkan di bulan-bulan akan datang.

“Semoga peminat Udit dapat turut serta dalam pemilihan lagu. Kami juga akan terus membuat pengumuman dari semasa ke semasa agar terus melibatkan peminat dalam perjalanan persediaan konsert ini. Untuk itu kami minta para peminat untuk kekal bersama kami,” kata Pengarah First Picture Sdn Bhd, En Muhamad Dzul Hilmi Bin Zainol dalam sidang media 24 September lalu.

VVST Digital Creation menyediakan beberapa pilihan tiket iaitu pakej eksklusif iaitu MIP pada harga RM1,466 (promosi awal RM1,266), VVIP pada harga RM1266 (harga promosi RM1,066) dan VIP pada harga RM1,022 (harga promosi RM888). Selain itu, turut dibuka untuk jualan ialah tiket dari pakej Diamond 1, RM525 (harga promosi RM456), Diamond 2 RM421( h.p RM366), Platinum RM345 (h.p RM300), Gold RM294 (h.p RM255), Silver RM217 (h.p RM188) dan Bronze RM148 (h.p RM128)

“Kami akan pastikan semua penonton akan mendapat peluang yang baik untuk menonton dan menikmati perjalanan konsert Sepanjang 3 jam itu. Kami juga mohon anda membeli tiket secepat mungkin bagi mengelakkan sebarang kekecewaan akibat kelewatan atau kehabisan tiket,” kata Pengasas dan Pengarah VST Digital Creation, Vigneswaran Sinniah.

Untuk makluman, harga promosi awal atau early birds hanya sah dari 24 hingga 30 September 2024 sahaja.

Jualan tiket untuk konsert Udit Narayan Live in KL dibuka pada hari ini, pukul 4 petang menerusi platform My Ticket Asia dan turut boleh dibeli dengan menghubungi penganjur di [email protected]


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page