September 17, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Konsert ‘Search Symphonic Live In Kuala Lumpur’ Bukti Search Kekal Unggul

2 min read
Spread the love

Oleh: Zizi Hashim

Band Rock Lagenda, Search telah mencetak kejayaan demi kejayaan menerusi konsert-konsert berskala besar terdahulu, sehingga kini masih belum mahu berhenti mengekalkan keutuhan dan keunggulan mereka di persada seni tanahair. Masih relevan dan ‘mahal’, kepercayaan terus diberikan kepada Datuk Suhaimi Abdul Rahman (Amy), Man Kidal, Hillary Ang dan Nasir Daud dalam melaksanakan sebuah lagi konsert gah, mewah dan meriah pada tahun ini.

Memilih untuk tampil dengan konsert berkonsepkan Jalinan Simfoni Orkestra Klasikal kali ini, pastinya ia bukan sekadar persembahan klise, malahan adalah julung kali buat Search. Bakal berlangsung pada 21 September 2024 dengan berlokasikan Mega Star Arena Kuala Lumpur, konsert dibawah anjuran Persatuan Rekreasi Global Malaysia (PRGM) diberi gelar ‘Search Symphonic Live In Kuala Lumpur’ dikatakan bakal melakar satu lagi kejayaan dalam kolaborasi perdana ini.

“Bukanlah satu negosiasi yang mudah, namun Search sebagai pemain muzik professional yang berpengalaman cukup luas dalam berkarya telah bersetuju dengan konsep yang kami usulkan. Ianya bukan hanya kerana berkonsep orkestra tetapi juga sebagai tanda sokongan Search dalam perjuangan muzik tempatan.” ujar Pengarah Program Persatuan Rekreasi Global Malaysia (PRGM), Encik Mohd Roslan Mohd Rafi ketika ditemui pada petang 16 Mei di Sidang Media Eksklusif bertempat di Royale Chulan Damansara.

“Satu pencapaian dan kejayaan besar buat kami di PRGM sebaik sahaja Search bersetuju untuk mengadakan konsert ini. Ucapan terima kasih yang sebesarnya buat Search dan semoga konsert ‘Search Symphonic Live In Kuala Lumpur’ yang direncanakan pada 21 September 2024 di Mega Star Arena Kuala Lumpur kelak berjalan lancar.” sambungnya lagi penuh terharu justeru persetujuan Search yang tidak mempunyai sebab untuk menolak lamaran PRGM dan seterusnya menjayakan konsert skala besar ini.

Pada usia 4 dekad berada dalam industri, Search berpendapat ini adalah sebagai tanda aras bahawa karya yang berkualiti akan sentiasa didambakan dan abadi di hati peminat. Dalam usaha memastikan konsert ini bakal menjadi satu lagi momen terbaik yang pernah dirasai oleh peminat serta sebuah malam yang tidak terlupakan, Search komited 100% dalam memberikan aura magis signatur mereka. Sama-sama kita tunggu dan lihat harmoninya jalinan muzik Search dengan balutan susunan kreativiti orkestra pada 21 September 2024 nanti.

“Undangan demi undangan yang datang buat Search bagi mengadakan konsert berskala besar bukan untuk menjadikan kami megah.” Datuk Amy membuka bicara pada petang itu. “Sebaliknya ia lebih kepada Search melihat bahawa muzik atau karya yang telah dihasilkan pada tahun 80an masih relevan sehingga kini serta sangat dinantikan untuk dipersembahkan secara langsung kepada peminat.”

Meskipun rendisi lagu yang sama akan disajikan dalam katalog setlist nanti, namun ianya akan diulang kemas semula dengan iringan pemain orkestra yang bergabung bersama Search sekaligus menjanjikan sesuatu yang fenomena buat peminat setia Search. Tiket-tiket Search Symphonice Live In Kuala Lumpur bermula dengan harga RM168 (PS3), RM268 (PS2), RM368 (PS1) dan RM468 (VIP) boleh dibeli mulai 17 Mei 2024 jam 2:30 petang menerusi www.myticket.asia atau boleh hubungi ticket hotline di talian 03-8605 0195.

Sebagai info, setiap RM10 dari pembelian tiket konsert ini akan didermakan ke Persatuan Karyawan Malaysia bagi membantu golongan artis dan selebriti tanahair yang memerlukan.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page