September 8, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

‘Konsert Search Fantasia Bulan Salju’ Tetap Di Teruskan

2 min read
Spread the love

Kumpulan Search tetap meneruskan ‘Konsert Fantasia Bulan Salju’ yang dijadualkan berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands meskipun bertembung tarikh dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

“Kami sudah buat banyak pertimbangan. Lokasi konsert juga tidak terlibat dalam senarai negeri yang terbabit dalam PRN memandangkan Genting terletak di Pahang yang tidak terlibat dengan PRN”, ujar Nasir selaku pemain bass kumpulan Search.

“Kami tidak boleh tangguh kerana semua pembeli mungkin sudah menempah tiket penerbangan dan hotel sambil menonton persembahan mega ini. Kami juga tahu, sekitar tengah hari semua sudah siap mengundi dan nak naik ke pusat peranginan ini pun hanya satu jam,” tambahnya ketika ditemui di sidang media Konsert Search Fantasia Bulan Salju yang telah di adakan di Petaling Jaya baru-baru ini.

Sehingga kini tiket Konsert Fantasia Bulan Salju kini sudah terjual sehingga 60 peratus dan dianggarkan bakal habis dibeli dalam tempoh beberapa minggu lagi.

Amy yang senada dengan Nasir turut bersetuju agar konsert ini diteruskan malah beliau turut memberitahu bahawa ada peminat dari Singapura sudah membeli 13 tiket konsert untuk menonton konsert tersebut.

“Kami ingin memudahkan urusan semua orang, jadi tak ada perancangan untuk kami nak tunda atau batalkan konsert ini,” jelasnya.

Ketua Pegawai Eksekutif MIC Entertainment, Brian Lim selaku penganjur berkata, pihaknya tidak menghalang sekiranya ada peminat yang ingin mendapatkan bayaran balik tiket untuk pulang mengundi.

“Semestinya kami menghormati keputusan peminat dan ada kemungkinan mereka tidak berkesempatan untuk ke konsert nanti.  Kami cuba yang sebaiknya untuk konsert ini, jika mereka ingin bayaran balik, mereka boleh lakukan demikian,” ujar Brian

Search yang dianggotai Amy, Hillary Ang, Nasir dan Man Kidal sebenarnya menjadi kumpulan rock Melayu pertama tanah air yang menjayakan konsert di lokasi berprestij Arena of Stars, Resorts World Genting

Search akan menyajikan lebih 20 lagu khas buat penonton yang turut menampilkan bakat muda iaitu pemain dram, Naimi dalam sebuah segmen istimewa.

Harga tiket bermula RM128 hingga RM388. Layari laman sesawang rwgenting.com dan my.bookmyshow.com untuk pembelian tiket.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page