November 24, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Konsert Rock Legend Berzaman: Seumpama Memutar Album Kompilasi

Spread the love

Oleh:RafidahWhite

Tanpa sebarang gimik berlebihan, Ibarat kayuh dan jalan terus meskipun tarikh dipilih bertembung dengan AJL38, Konsert Rock Legend Berzaman akhirnya melabuh tirai pentasnya dengan seribu kepuasan dari para peminat yang hadir.

‘Tangkap leleh’ itu yang boleh digambarkan para peminat apabila di ‘hadiah’kan kompilasi lagu-lagu hits ‘jiwang karat’ dari sembilan vokalis kumpulan bergenre slow rock, di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, yang telah berlangsung pada 3 Mac lalu.

Tiga jam setengah – bermula sekitar jam 8 malam dan tamat hampir jam 11.30 malam,  seolah tidak dirasai langsung para penonton yang hadir.  Tarikan persembahan terus menerus berjalan lancar tanpa wujud sebarang gangguan teknikal, malah keberkesanan paparan shot kamera dan grafik di skrin besar LED serta sorotan lampu-lampu pentas berjaya mencipta pelbagai suasana bersesuaian dengan imbangan muzik iringan yang cukup selesa didengar, bawah kendalian Oja dan pasukan pemuziknya.

Hampir lapan puluh peratus ruangan penonton di aras 1 dan aras 2 malam itu dipenuhi penonton yang hadir untuk menyaksikan konsert pertama anjuran RAR Sky Entertainment dengan kerjasama penaja utama Kopi KM.  Konsert yang menampilkan Aril Pilus sebagai pengacara memulakan persembahan dengan rangkaian lagu-lagu membuai perasaan dendangan Azan vokalis kumpulan SCAN menerusi lagu-lagunya seperti Di Sana Mawar Di Sini Penawar, Yang Kalut Di Fikiran serta lagu Kau Dipaksa Aku Terpaksa.  Diikuti Poey STINGS yang pastinya menyemarakkan kenangan silam dengan lagu popularnya Adakah Kau Setia, Dalam Diam Aku Mencintaimu serta lagu Kau Tetap Ku Hajati

Menyusul selepas itu persembahan dari Hazama yang tampil dengan lagu-lagu dendangan Allahyarham Salem IKLIM iaitu Bukan Ku Tak Sudi dan Aduhai Seribu Kali Sayang.  Pemilihan Hazama adalah memenuhi kapasiti kebolehan dirinya yang mampu membawa lagu-lagu popular kumpulan Iklim malah di awal kemunculannya beliau turut menjadikan penyanyi lagenda Salem sebagai ikon perjalanan seninya.  Hazama dalam ucapannya kepada peminat menyatakan rasa terharu dapat berdiri sebaris dengan legenda rock terdahulu. Menyifatkan dirinya belum layak bergelar lagenda, sebaliknya lagu-lagu yang didendangkan peminat malam itulah lebih sesuai dinobatkan.  Hazama mengakhiri persembahan dengan lagu Relakan Jiwa.

Seterusnya Shidi DATA pula muncul di pentas dengan Nyanyian Rindu Buat Kekasih, Lagu Mengulit Kenangan serta lagu yang ditunggu-tunggu para peminat iaitu Permaisuri.  Kemunculan Ameng selepas itu membawakan lagu malar segar kumpulan SPRING seperti Cempaka Di Rembulan, Sejiwa, Butakah Cinta dan Romantis.  Seperti yang telah dijangka, kehadiran Amir UKS turut mendapat sambutan ramai apabila penonton turut sama menyanyikan lagu-lagu popular ciptaan komposer Saari Amri iaitu Siksa, Pahit Akan Manis Akhirnya serta Di Sana Menanti, Di Sini Menunggu.

Ezad Lazim yang memulakan kerjaya seni sebagai pengganti vokalis kumpulan EXISTS seterusnya mengambil tempat menghiburkan para penonton dan seperti yang dijangka, lagu-lagu hitsnya Seperti Dulu, Masih Terserlah Ayumu dan Mengintai Dari Tirai Kamar berjaya memukau perhatian para penonton untuk turut menyanyi bersama. 

Aura Zamani SLAM masih belum mengecewakan peminat apabila beliau kemudian hadir di tengah pentas dengan pilihan lagu mod rancak berselang seli mod perlahan iaitu Kembali Merindu diikuti Tak Mungkin Berpaling, Nur Kasih dan diakhiri Gerimis Mengundang.   Bahang Muss kemudiannya terus mengungguli pentas dengan lagu yang ditunggu ramai peminatnya iaitu Sinar, Cintamu Mekar Di Hati dan Sendiri. Mengakhiri keseluruhan persembahan dengan nyanyian beramai-ramai semua artis terlibat iaitu lagu Srikandi Cintaku yang juga merupakan lagu kumpulan Bloodshed

Kak KM selaku penaja utama ketika ditemui sebaik sahaja tamat konsert mengucapkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang telah memberi sokongan terutama mereka yang hadir membeli tiket.  Rata-rata para peminat yang hadir kelihatan cukup terhibur malah tidak berganjak dari tempat masing-masing, menyokong sambil menyanyikan lagu-lagu yang didendangkan menandakan strateginya yang memilih sendiri ke semua lagu jelas bertepatan dengan selera dan minat para peminat yang datang ke konsert.

Tidak menolak kemungkinan untuk terus mengadakan konsert seumpama ini di masa akan datang, namun bukanlah dalam masa yang terdekat kerana segalanya memerlukan perancangan dan penelitian yang rapi.  

“Ini adalah percubaan baru kami dalam dunia perniagaan.  Pulangan modal bukanlah sesuatu yang kami jangkakan, tapi apa yang penting matlamat kami menganjurkan konsert ini berjaya”, ujar Kak KM dan kakaknya Nona dalam nada ceria dan optimis.

Turut kelihatan hadir sama memberi sokongan termasuklah rakan-rakan artis dan selebriti seperti Ifa Raziah, Khaty Azean, Chef Yang Jamil dan artis dari Indonesia, Charly Van Houtten. Seniwati Normah Damanhuri dan ahli keluarga Kak KM turut kelihatan memberi sokongan dari awal hingga akhir konsert berlangsung.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page