January 26, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Konsert Reunion Senario Hampir Sold Out — ‘The Last Kopek’ Janji Lebih 20 Lagu & Nostalgia Bersama Peminat

Spread the love

Selepas sekian lama peminat menanti, kumpulan legenda komedi tanah air, Senario, akhirnya kembali “menguasai” pentas besar. Namun yang menarik, kemunculan semula ini bukan sekadar menjual jenaka yang mencuit tawa, sebaliknya sebuah konsert reunion penuh emosi, muzik dan kenangan persahabatan yang telah terjalin selama tiga dekad.

Konsert bertajuk “The Last Kopek: SenarioUnion 30 Tahun” dijadualkan berlangsung pada 25 April 2026, jam 8.30 malam di Idea Live Arena, Petaling Jaya. Dianjurkan oleh DreamScape bersama Kapla Entertainment, konsert ini merupakan hadiah istimewa buat peminat setia sempena ulang tahun ke-30 penubuhan Senario.

Apa yang bermula sebagai perancangan rapi kini berubah menjadi fenomena. Walaupun konsert hanya bakal berlangsung pada April, trend jualan tiket yang hampir habis terjual membuktikan bahawa nama Senario masih kukuh di hati peminat, merentasi generasi.

 “Alhamdulillah, perancangan ini Allah permudahkan. Tiket kita dah hampir selesai dijual, tinggal sedikit saja lagi. InsyaAllah dengan sokongan rakan media dan pihak syarikat, kita harap dapat habiskan jualan dalam masa terdekat,” ujar Azlee ketika ditemui media di Budaya Restaurant Kuala Lumpur pada 8 Januari lalu.

Menurut Azlee, konsert ini bukan sekadar pementasan lawak klasik, tetapi sebuah persembahan muzik penuh dengan lebih 20 buah lagu daripada pelbagai era Senario yang bakal membawa penonton menyelami nostalgia dan kenangan manis berdekad lamanya.

“Fokus utama konsert ini adalah lagu. Lawak tu sekadar selingan impromptu. Kita nak peminat benar-benar menikmati muzik Senario,” jelas mereka.

Menariknya, konsert yang dijadualkan berlangsung sekitar penghujung Syawal ini turut akan menampilkan lagu raya, mengambil kira suasana Aidilfitri yang masih terasa.

Senario turut mengesahkan kehadiran artis jemputan, namun butiran lanjut akan diumumkan oleh pihak penganjur. Konsep keseluruhan pula sedang diperhalusi bersama DreamScape bagi memastikan keseimbangan antara hiburan, teknikal dan emosi.

Antara segmen paling dinanti ialah tribute khas buat Allahyarham Hamdan, sahabat seperjuangan Senario yang telah pergi namun kekal hidup dalam memori peminat.

“Bila sebut reunion, sebenarnya Senario memang dah lama bersama. Tapi kita juga kehilangan sahabat baik kita, arwah Hamdan. Tribute ini untuk mengenang perjalanan bersama arwah dan peminat,” kata mereka penuh makna.

Menjelang konsert, Senario akan melalui tiga fasa latihan intensif bermula Februari, melibatkan latihan bersama band dan orkestra, penari serta artis jemputan.

“Memang nervous, takkan tipu. Tapi kami dah biasa beraksi depan crowd besar. Yang penting kami nak beri persembahan terbaik,” ujar mereka.

“Kami kena kumpul semangat dan tenaga sebab konsert ini bukan sekejap. Ditambah dengan usia kami, bukan mudah untuk sustain atas pentas dalam tempoh yang panjang,” tambah Saiful Apek.

“Yang paling penting nyanyian tidak sumbang… sebab itu kami tetap menjalani latihan untuk memantapkan persembahan walaupun kami bukan penyanyi sepenuh masa,” katanya.

Menurut Azlee, walaupun sesekali berlaku perselisihan faham antara ahli kumpulan, hubungan mereka tetap kukuh hasil sifat saling menghormati, keberanian mengakui kesilapan serta memberi ruang kepada setiap individu untuk membaiki diri.

Lan Pet Pet turut memberitahu bahawa, konsert berkenaan akan menjadi ruang mempertemukan semula generasi peminat lama yang kini sudah berkeluarga, selain memperkenalkan Senario kepada generasi baharu.

“Dulu yang datang tengok kami ramai yang masih bujang, sekarang ramai yang dah ada anak malah ada cucu. Jadi kami harap mereka dapat datang balik bersama-sama keluarga,” katanya

Untuk rekod, Senario telah ditubuhkan pada awal 1990-an menerusi gabungan beberapa peserta daripada program realiti Sinaran Pasport Kegemilangan, kumpulan legenda komedi itu kini dianggotai Azlee Jaafar, Wahid, Lan Pet Pet, Ilya Buang, Saiful Apek dan Yassin Yahya.

Perkembangan terkini menunjukkan hampir semua kategori tiket telah habis dijual, termasuk tiga kategori paling laris: Cari Tapak, Motor Kapcai dan Cinta Berkarat bukti jelas sambutan hangat peminat sehingga tiket premium cepat terjual.

Tiket rasmi boleh dibeli secara atas talian melalui www.ilassotickets.com/Senariounion dan www.fantopia.io, kedua-duanya platform rasmi yang telah mengurus penjualan sejak dibuka awal Disember lalu.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page