May 6, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Konsert Michael Wong “Never Apart. Lonely Planet 3.0” di Kuala Lumpur 2025 Laris dalam 90 Minit — Persembahan Tambahan pada 18 Julai Diumumkan!

Spread the love

Hanya mengambil masa 90 minit sahaja untuk tiket Konsert “Never Apart. Lonely Planet 3.0” oleh penyanyi tersohor Michael Wong (Guang Liang) di Stadium Merdeka habis dijual, selepas dibuka kepada umum pada jam 12 tengah hari, 21 April lalu.

Lantaran sambutan luar biasa tersebut mencetuskan reaksi hangat di media sosial, dengan ribuan peminat meluahkan kekecewaan mereka kerana terlepas peluang untuk mendapatkan tiket, malah ramai yang memohon agar konsert tambahan diadakan.

Menjawab permintaan peminat, pihak penganjur XYmusic akhirnya mengumumkan bahawa satu lagi malam persembahan akan berlangsung pada Jumaat, 18 Julai 2025, jam 9 malam, juga bertempat di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Michael, yang jarang berpeluang pulang ke Malaysia kerana jadual padat, menyifatkan siri jelajah “Never Apart” ini sebagai ruang untuk kembali menyatu dengan peminatnya yang setia sejak 30 tahun lalu.

“Saya tak tahu berapa banyak lagi tiga puluh tahun yang saya ada,” ujar Michael dengan senyuman. “Sebab itu saya sangat hargai setiap peluang untuk bertemu peminat. Selagi saya mampu menyanyi, saya akan berikan segalanya.”

Menurut wakil XYmusic, keputusan untuk menambah satu lagi malam konsert bukanlah sesuatu yang mudah, namun ia dibuat atas dasar penghargaan terhadap ikatan yang telah dibina bersama peminat selama tiga dekad.

“Hubungan yang terjalin antara Michael dan peminatnya selama 30 tahun ini sangat bermakna buat kami. Apa pun rintangan, kami akan usahakan demi mereka.”

Tiket untuk konsert tambahan pada 18 Julai 2025 akan mula dijual pada jam 12 tengah hari, 5 Mei 2025, menerusi laman web rasmi www.bookmyshow.com/e/lonely30. Butang “BOOK NOW” akan diaktifkan 30 minit sebelum waktu jualan dibuka.

Konsert ini bukan sekadar persembahan muzik tetapi ia adalah sambutan terhadap perjalanan seni Michael Wong selama 30 tahun yang penuh dengan kisah cinta, kenangan remaja, dan melodi abadi.

Jangan lepaskan peluang ini — mari cipta malam yang bermakna bersama Michael Wong pada 18 dan 19 Julai 2025. Kita mungkin berjauhan, tapi hati kita tetap dekat — Never Apart.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page