May 19, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Konsert MeleTOP Tarik Ribuan Peminat dari Pelbagai Negara

Spread the love

Bandar Miri menjadi tumpuan peminat muzik dari Brunei dan Kalimantan minggu lalu apabila Konsert MeleTOP TVS berlangsung dengan meriah di Stadium Tertutup Miri pada 17 Mei 2025. Bertemakan “Nang Champiyen, Nang Legend”, konsert anjuran Astro dan TVS ini menampilkan barisan artis popular Malaysia seperti Dayang Nurfaizah, Stacy, Mimifly, Dolla dan ramai lagi.

Konsert selama dua jam ini merupakan kali pertama diadakan di luar Lembah Klang, menjadikan Miri sebagai lokasi sulung bagi acara mega ini. Ia disiarkan secara langsung di TVS (Saluran 122 di Astro, MYTV, Unifi TV), Astro Ria, Astro GO dan Sooka. Turut hadir bagi memeriahkan suasana ialah Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang.

Malam itu dimulakan dengan persembahan budaya dan muzik yang memukau oleh Sada Borneo dan Dion Das, diikuti persembahan bertenaga dari Mimifly dan Stacy yang menggamatkan stadium dengan lagu-lagu popular seperti “Abracadabra”, “Menyala” dan “Angkat.”

Wani Kayrie, bintang muda yang semakin meningkat naik, turut memukau penonton bersama Noki dengan persembahan yang memperlihatkan semangat kebanggaan Borneo menerusi lagu “Original Sabahan” dan “Not Like Us.”

Kemuncak acara adalah penyampaian “Anugerah Khas Borneo MeleTOP” kepada penyanyi kesayangan Sarawak, Dayang Nurfaizah. Anugerah ini disampaikan oleh Pengerusi TVS, Dato’ Norhyati Ismail dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TVS, En. Mohamad Sardon Zainal. Ia merupakan pengiktirafan tertinggi TVS kepada anak seni kelahiran Sarawak yang telah mengharumkan nama negeri dan Borneo di persada muzik nasional.

Dayang kemudian meneruskan malam istimewanya dengan persembahan solo yang menyentuh emosi menerusi lagu “Seandainya Masih Ada Cinta”, dan seterusnya berduet bersama Hael Husaini menerusi lagu “Haram” – momen yang pasti tidak akan dilupakan.

Penampilan istimewa turut diserikan oleh Hairee Francis, Marsha Milan dan Nadeera, penyanyi bersuara emas yang kini semakin dikenali selepas kejayaannya di AJL39.

Malam itu mencapai kemuncaknya dengan persembahan penutup penuh bertenaga daripada kumpulan Dolla yang berjaya menghidupkan suasana sehingga seluruh penonton berdiri dan menari mengikut rentak persembahan mereka yang glamor dan dinamik.

Pengacara popular MeleTOP, Nabil Ahmad, Hawa Rizwana dan Sherry Alhadad, bersama pengacara TVS Cheryl Toh, Fattah Bolh dan Ghaz Zawawi turut memainkan peranan penting dalam memastikan suasana sepanjang malam kekal meriah dan menghiburkan.

Kemeriahan tidak terhenti di sini. Susulan kejayaan Konsert MeleTOP TVS, TVS sekali lagi akan mengadakan konsert mega yang pastinya dinanti-nantikan – Konsert Berkat Gawai-Kaamatan! Konsert ini bersempena dua perayaan budaya utama masyarakat Borneo dan akan berlangsung pada 21 Mei 2025, jam 7:30 malam di Stadium Tertutup Miri. Konsert ini akan menampilkan ratu rock Malaysia, Ella, serta barisan artis lain termasuk Bob Yusof, Ramles Walter, Dabra Sia, Velvet Aduk, Roxy Ixzy, SMDX dan penampilan istimewa dari Kalimantan, Marina Jara.

Tiket percuma untuk konsert ini telah habis ditempah semasa keluaran awal, namun peminat masih berpeluang mendapatkannya melalui laman web TVS (tvsarawak.my) atau terus di pintu masuk stadium selagi stok masih ada. Orang ramai, terutamanya penduduk Miri dan kawasan sekitarnya, dijemput hadir untuk bersama-sama meraikan malam yang penuh warna-warni budaya dan muzik ini.

Menurut Mohamad Sardon Zainal, “Miri merupakan pintu masuk ke utara Sarawak, terletak berhampiran dengan Brunei, Sabah dan Kalimantan. Sempena ulang tahun ke-20 Miri sebagai bandar raya, ini adalah masa yang tepat untuk menghimpunkan masyarakat dan budaya dalam skala besar.”

Dengan gabungan ikon muzik nasional dan bakat tempatan dari Sabah dan Sarawak, konsert seperti ini bukan sahaja menghiburkan tetapi juga membina jambatan budaya serta membuka peluang keemasan bagi bakat baharu. Dengan akses percuma, acara ini turut membuka pintu kepada lebih ramai penonton termasuk pelancong dari Brunei dan Kalimantan untuk menikmati hiburan bertaraf dunia di Borneo.

Untuk maklumat lanjut, layari: tvsarawak.my


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page