December 24, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Konsert Maliq & D’Essentials Can Machines Fall In Love? Album Tour ditunda

Spread the love

Konsert kumpulan popular Indonesia, Maliq & D’Essentials, Can Machines Fall In Love? Album Tour yang bakal berlangsung di Megastar Arena Kuala Lumpur pada 29 Disember ini terpaksa ditunda kepada satu tarikh lain.

Pihak Kharisma International dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 23 Disember memaklumkan bahawa konsert itu ditunda atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan.  Pihak penganjur juga menyatakan bahawa mereka yang telah membeli tiket, ianya boleh diguna pada hari konsert yang akan diumumkan tarikh baharunya kelak.

Sementara itu Maliq & D’Essentials  melalui kenyataan dikeluarkan menyebut, mengubah jadual konsert bukanlah suatu perkara mudah, namun mereka berjanji untuk bertandang ke Malaysia dan bertemu peminat sebaik tarikh baharu dapat ditetapkan.

“Dengan penuh rendah hati, hormat dan empati, kami ingin memaklumkan bahawa persembahan yang akan datang di kota anda perlu dijadualkan semula. Tarikh baharu akan diumumkan sebaik sahaja ia disahkan.

“Pertama sekali, izinkan kami berkata, anda adalah sebab kami melakukan apa yang kami lakukan. Setiap tiket dibeli, setiap perancangan dibuat dan setiap detik diluangkan untuk bersama kami amat bermakna.

“Oleh itu, keputusan ini tidak dibuat dengan mudah. Walaupun usaha tanpa henti daripada pasukan kami, penganjur dan semua yang terbabit, terdapat keadaan tidak dapat dijangka yang memaksa kami untuk mengubah rancangan.

“Kami boleh meluangkan masa untuk mencari alasan atau menyalahkan sesiapa, tetapi itu bukanlah prinsip kami. Apa yang penting sekarang ialah memastikan supaya kami dapat berikan yang terbaik untuk anda,” jelas kenyataan itu.

Melalui kenyataan sama, kumpulan ditubuhkan pada 2002 itu memberi jaminan bahawa setiap tiket yang sudah dibeli sah dan terpakai untuk tarikh baharu konsert.

“Semua tiket yang sudah dibeli akan tetap sah untuk tarikh konsert yang baharu. Jika anda tidak dapat hadir ke acara yang dijadualkan semula, pilihan pemulangan wang akan disediakan.

“Kami akan berkongsi maklumat lanjut mengenai tarikh baharu dan proses pemulangan wang secepat mungkin.

“Ini bukanlah pengakhiran, ia hanya jeda. Apabila kembali, kami berjanji ia akan menjadi persembahan yang setimpal dengan kesabaran, pemahaman dan sokongan tidak berbelah bahagi anda.

“Terima kasih kerana sentiasa bersama kami, kerana mempercayai kami, dan kerana memberikan kami keistimewaan untuk berkongsi muzik kami dengan anda.

“Kasih sayang dan sokongan anda lebih bermakna daripada yang dapat diungkapkan dengan kata-kata. Sehingga bertemu lagi, jaga diri, teruskan berinspirasi dan ketahuilah bahawa kami akan berjumpa lagi tidak lama lagi,” menurut kenyataan itu.

Maliq & D’Essentials buat kali pertama mengadakan konsert secara besar-besaran di dua negara, Indonesia dan Malaysia menerusi siri jelajah mempromosikan album baharu berjudul Can Machines Fall In Love? yang dilancarkan pada Mei lalu.

Ini adalah album kesembilan Maliq & D’Essentials selepas 22 tahun berada dalam industri muzik.

Maliq & D’Essentials dianggotai Angga Puradiredja, Indah Wisnuwardhana, Widi Puradiredja, Jawa, Lale dan Ilman Ibrahim


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page