October 18, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Konsert Malevolent Creation Di Malaysia Diteruskan!

Spread the love

Peminat metal tempatan di Malaysia boleh menarik nafas lega apabila Rockstage Entertainment telah mengumumkan bahawa konsert Creation Attack, yang menampilkan kumpulan death metal dari Amerika Syarikat, Malevolent Creation, akan tetap diteruskan walaupun pada awalnya ia telah diumumkan batal. Pada mulanya, mereka berkata bahawa konsert yang pada asalnya dirancang berlangsung di Panggung Odeon, Kuala Lumpur, terpaksa dibatalkan kerana venue tersebut masih dalam proses renovasi dan belum siap sepenuhnya.

Walau bagaimanapun, berita gembira buat peminat tiba hari ini apabila pihak Rockstage Entertainment mengumumkan lokasi baharu untuk konsert tersebut, iaitu di Batu Road Ballroom, Level 3, Ideas Hotel Kuala Lumpur, hanya 5 minit dari Panggung Odeon. Konsert akan berlangsung pada 30 November 2024 dari jam 8:30 malam hingga 11:00 malam, dengan harga tiket sebanyak RM120 untuk kapasiti terhad 300 orang sahaja.

Dalam kenyataan rasmi sebelum ini, pihak Rockstage Entertainment menyatakan kekecewaan mereka kerana venue yang dijanjikan siap pada Oktober terpaksa ditunda hingga November, menyebabkan kesulitan untuk memohon permit yang diperlukan daripada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem Dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL).

Usaha mencari venue alternatif seperti Stadium Chinwoo, The Bee, dan Bentley Auditorium juga menemui jalan buntu kerana kekosongan venue yang terhad.

Fliers terbaharu konsert Creation Attack

Konsert ini akan menyaksikan persembahan hebat daripada Malevolent Creation, yang tetap datang ke Kuala Lumpur walaupun terdapat kekangan venue. Band tempatan asal yang dijadualkan, seperti FTG dan Brain Dead, telah dialihkan ke konsert lain yang akan berlangsung pada Januari 2025.

Namun setelah pengumuman bahawa konsert ini akan diteruskan semula dan bagi menggantikan FTG dan Brain Dead, band legenda tempatan Sil Khannaz akan tampil dalam konsert ini. Sil Khannaz juga akan mempromosikan album terbaru mereka yang diterbitkan oleh Rockstage Entertainment, bertajuk The Madness of Fear pada konsert ini.

Peminat yang sudah membeli tiket tidak perlu risau kerana tiket asal mereka masih sah digunakan untuk acara ini, dan sebarang lebihan bayaran tiket akan dipulangkan oleh ejen tiket, MyTicketEmpire.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan gabungan hebat ini! Pastikan anda mendapatkan tiket sebelum kehabisan, kerana jumlah tempat sangat terhad.

Sumber: Laman Facebook Rockstage Entertainment


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page