June 21, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

“Konsert Legasi P. Ramlee” Satukan Empat Maestro, 60 Pemuzik

Spread the love

Lebih 30 karya agung Seniman Negara diberi nafas baharu dalam pementasan dramatik diketuai empat maestro muzik dan barisan artis ternama

Sebuah penghormatan penuh gemilang bakal diadakan bagi meraikan warisan agung Seniman Negara, Tan Sri P. Ramlee, menerusi Konsert Legasi P. Ramlee yang dijadual berlangsung pada Sabtu, 20 September 2025 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

Dianjurkan oleh Tanahair Films Sdn. Bhd. sebagai sebahagian daripada inisiatif nasional Projek Perdana P. Ramlee, konsert ini merupakan usaha menyeluruh untuk mengangkat semula karya-karya ikonik P. Ramlee dalam format moden, dramatik dan berkelas dunia.

Dalam sidang media pelancaran di Studio Merdeka, FINAS, Ulu Kelang yang telah di adakan pada 18 Jun lalu, pengasas Tanahair Films, Dato’ Khairul Anwar Salleh dan Adlin Aman Ramlie, turut memperkenalkan barisan artis dan pemuzik yang bakal menjayakan acara ini.

Konsert ini akan menampilkan lebih 30 karya abadi P. Ramlee, disusun semula dalam bentuk medley, solo dan duet, dengan susunan muzik yang menjangkau pelbagai gaya daripada kontemporari dan klasik ke sinematik.

Antara tunjang utama yang memacu pementasan ini ialah empat maestro muzik tersohor negara iaitu Dato’ Ramli MS, Datuk Mokhzani Ismail, Helen Yap dan Michael Veerapen.  Mereka akan bergandingan dengan lebih 60 pemuzik orkestra profesional dalam mempersembahkan sebuah produksi berskala besar yang menyentuh emosi dan menghidupkan semula roh seni era keemasan Melayu.

“Kita tak mahu hanya buat konsert nostalgia. Kita nak ia hidup semula. Lagu-lagu ini masih relevan — cuma pendekatannya perlu segar dan bertaraf dunia,” – Dato’ Ramli MS

“Konsert ini cabar kita ke tahap seterusnya. Ia mesti kedengaran ‘wow’, antarabangsa, dan bukan sekadar susunan biasa,” – Helen Yap

Turut menghiasi pentas adalah barisan nama besar industri muzik tanah air termasuk Dato’ Jamal Abdillah, Datuk Zainalabidin, Ella, Liza Hanim, MimiFly dan Nadeera, yang bakal menginterpretasikan lagu-lagu ikonik P. Ramlee dalam gaya tersendiri  membuktikan betapa legasi seniman ini kekal relevan merentas zaman.

Di bawah pengarahan artistik Adlin Aman Ramlie, konsert ini dijangka tampil sebagai sebuah penceritaan pentas dramatik, sarat elemen sinematik dan visual, bukan sekadar hiburan konvensional.

Sebagai pelengkap nostalgia, segmen khas akan menampilkan tiga impersonator tersohor P. Radhi, Danie Hasbullah dan Musly Ramlee yang dikenali atas kebolehan mereka membawakan semula watak dan persona P. Ramlee dengan penuh keaslian.

“P. Ramlee bukan sekadar cipta lagu, dia cipta dunia. Konsert ini adalah panggilan semula kepada dunia itu,” – Michael Veerapen

Konsert ini juga merupakan lanjutan daripada inisiatif Legasi Podcast, sebuah dokumentari audio yang dilancarkan pada September 2024, bertujuan menceritakan semula kisah-kisah P. Ramlee dalam naratif moden yang dekat dengan generasi muda.

“Konsert ini bukan sekadar hiburan. Ia adalah jambatan budaya yang menghubungkan generasi lama dengan baharu,” – Dato’ Khairul Anwar Salleh

Tan Sri P. Ramlee, atau nama sebenarnya Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh, lahir pada 22 Mac 1929 di Pulau Pinang, telah menghasilkan lebih 60 filem dan lebih 300 lagu. Beliau bukan sahaja seorang pelakon, tetapi juga pengarah, komposer, penulis skrip dan penyair ulung yang meletakkan seni Melayu di peta dunia.

Filem-filem seperti Hang Tuah, Anakku Sazali, Ibu Mertuaku dan Tiga Abdul masih menjadi rujukan hingga kini, dengan pencapaian antarabangsa yang mengangkat nama negara di persada dunia seni.

Tiket konsert akan mula dijual pada Jumaat, 27 Jun 2025 menerusi laman rasmi www.ticket2u.com.my. Ikuti perkembangan lanjut menerusi media sosial rasmi @konsertlegasipramlee, @TanahAirFilms, dan @legasipodcast di Facebook, Instagram dan TikTok.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page