Konsert Jiwa Kacau 2025 – The Final Game ‘Pertempuran’ Kugiran Legenda & Generasi

Kini Sejarah demi sejarah telah dicetak. Rekod demi rekod telah dilakar namun penganjur MND Sport & Event Sdn Bhd yang telah menjayakan Jiwa Kacau masih belum mahu berhenti untuk melakar lebih banyak pencapaian dan mempersembahkan hiburan berkualiti demi menepati cita rasa peminat muzik yang sudah bersama mereka sejak hari pertama.
Maka terimalah Konsert Jiwa Kacau 2025 – The Final Game yang akan menjadi sebuah lagi pesta gilang gemilang meraikan kepelbagaian muzik Nusantara. Dijadualkan berlangsung pada 28 Jun 2025 di Stadium Nasional Hoki Bukit Jalil, Kuala Lumpur, anda pasti tidak mahu melepaskan peluang menjadi saksi mata Konsert Jiwa Kacau 2025 – The Final Game.

Sebagai gimik pelancaran ‘Konsert Jiwa Kacau 2025’ satu majlis telah di adakan di Centre Court, PAVILION Kuala Lumpur pada 22 Mac lalu. Acara gilang gemilang itu turut menyaksikan kehadiran Bunkface dan Spider. Khalayak juga turut disajikan dengan persembahan akustik daripada Aziz Harun dan Luqman Faiz. Sebagai simbolik pelancaran hadirin turut menerima ‘duit raya’ yang di agihkan kepada 300 peminat.

Menerusi penganjuran siri Jiwa Kacau, Konsert Jiwa Kacau 2025 – The Final Game menampilkan pemuzik dan kugiran yang mempunyai reputasi dan repertoire yang sudah lama membekas di jiwa dan menjadi siulan di bibir.
MND Sport & Event Sdn Bhd membariskan kugiran legenda, Spider bersama dua band yang memiliki peminat luar biasa iaitu Hujan dan Bunkface. Kerispatih, The Lantis & A Mystery Band pula akan diterbangkan khas daripada Indonesia untuk melengkapkan siri Konsert Jiwa Kacau 2025 – The Final Game pada 28 Jun 2025 ini.
“Selaku penganjur kami memberi komitmen terbaik dalam memastikan penganjuran siri Konsert Jiwa Kacau yang telah kami anjurkan sejak tahun 2023 berada dalam kelas tersendiri. “Sebab itu kami mahu memastikan penganjuran setiap tahun mempunyai elemen dan faktor X yang lebih kuat daripada penganjuran-penganjuran sebelumnya.
“Kini untuk Konsert Jiwa Kacau 2025 – The Final Game kami sangat berbesar hati dan teruja membawakan Spider, kugiran legenda yang pertama kali menyertai pasukan kami bersama dua band yang memang ‘pecah habis’ Hujan dan Bunkface.
“Tidak dilupakan atas permintaan ramai dan semangat muzik serumpun, kami bawakan pertama kali juga The Lantis & A Mystery Band serta Kerispatih sebagai hiburan buat peminat yang tidak pernah meletakkan diskriminasi terhadap hiburan Nusantara,” ujar Harith Daniel dari MND Sport & Event Sdn Bhd.
Buat Spider, terlibat dalam Konsert Jiwa Kacau 2025 – The Final Game adalah sebuah persetujuan yang akan membawa mereka kepada satu atmosfera baharu bermain dengan kugiran generasi kini.
“Spider tidak sabar bertemu dan melihat respons peminat pada penganjuran edisi Konsert Jiwa Kacau 2025 – The Final Game. Walaupun digelar ‘the final game’ tapi ini bukan pengakhiran namun persembahan kami adalah yang terhebat anda akan saksikan!” ujar vokalis Spider, Tam.

Untuk menjadi saksi Konsert Jiwa Kacau 2025 – The Final Game, dapatkan tiket-tiket dengan kategori GENERAL ADMISSION (RM98), CAT 1 (RM148), ROCKZONE (RM168), VIP (RM228) dan JK (RM328) di platform www.ilassoticket.com.