September 6, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota Bakal ‘Tawan’ Pulau Pinang

2 min read
Spread the love

Ratu rock, Ella kembali membuat kejutan buat semua peminatnya selepas mengumumkan konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota yang bakal di adakan di Spice Arena, Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 28 Oktober depan.

Ella atau nama sebenarnya Nor Zila Aminuddin berkata, harga tiket yang di tawarkan juga ‘mampu milik’ dan ianya merupakan usahanya untuk meraikan semuat peminat khususnya yang berada di utara serta buat peminat yang tidak berpeluang menghadiri konsert di Axiata Arena, Bukit Jalil, Jun lalu.

“Konsert ini memang untuk peminat di utara seperti dari Kedah, Perlis dan Perak. Sempena 35 tahun Ella berada dalam industri, ini adalah hadiah buat peminat yang menyokong karier Ella selama ini.

“Daripada segi pemilihan lagu, akan ada 50 peratus perbezaan berbanding konsert di KL,” ujarnya semasa sidang akhbar konsert tersebut serta sambutan ulangtahun kelahiran Ella di Pavilion Elite, Kuala Lumpur pada 31 Julai lalu.

Masih mengekalkan tema Rock Glam, konsert yang dijangka berlangsung dua jam setengah itu akan menyajikan 25 hingga 30 lagu hits Ella serta penampilan artis jemputan.

Gubahan dan susunan muzik konsert itu akan dikendalikan oleh pengarah muzik, Datuk Acis dan turut disertai oleh sembilan pemuzik profesional.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Solutions, Rohit Rampal berkata, idea penganjuran konsert di Pulau Pinang itu sebenarnya sudah tercetus sebelum konsert di Kuala Lumpur.  Pihaknya sudah merancang untuk mengadakan konsert jelajah ke negeri-negeri lain selepas kejayaan konsert di KL.

“Sudah tentu ada kelainan untuk konsert kali ini iaitu daripada aspek lokasi dan tawaran harga tiket. Kapisiti juga lebih besar berbanding Axiata Arena yang boleh menampung 12,500 pengunjung dengan konsep pentas 360 darjah yang berada di bahagian tengah.

“Tiket pula memang harga rahmah sebab kita bukan hendak buat keuntungan semata-mata, sebaliknya meraikan semua lapisan peminat. Kami akan berusaha memberikan kepuasan maksimum buat penggemar rock di utara dan nantikan pengumuman seterusnya,” katanya.

Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota diadakan bagi mengenang 35 tahun ulang tahun Ella dalam industri muzik tanah air dengan penghasilan lagu bergenre ‘Rock’.

Untuk rekod, penjualan tiket konsert Ella di KL berjaya mencipta sejarah Malaysia Book of Record kerana terjual dalam tempoh 24 jam sahaja.

Peminat boleh mendapatkan tiket bermula dari RM78 hingga RM258 yang akan mula dijual pada pukul 12 tengah hari  (2 Ogos) di www.hitmanlive.com.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page