Konsert Hype Republic Tawar Pengalaman Muzik Pelbagai Genre

Bakal Berlangsung Di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil Pada 13 Disember Ini
Peminat muzik tanah air bakal disajikan dengan sebuah konsert berskala mega yang dijangka menjadi antara acara hiburan paling berimpak tinggi tahun ini. Konsert Hype Republic, anjuran DM Diamond Sdn. Bhd., akan berlangsung pada 13 Disember 2025 (Sabtu), jam 8.30 malam di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
Menampilkan konsep unik yang menyatukan pelbagai genre muzik popular dan kontemporari dalam satu malam, Hype Republic dijangka menarik perhatian khalayak muzik dari pelbagai latar dan citarasa. Konsert ini mengetengahkan elemen “one-stop music experience” dengan persembahan merangkumi genre EDM, hip-hop, pop, K-Pop, J-Pop, Alt-Indie serta aliran muzik lain yang akan dipersembahkan secara langsung dan berturut-turut dalam satu pentas.

Barisan artis yang akan tampil dalam konsert ini terdiri daripada nama-nama hebat industri muzik tempatan seperti Kmy Kmo & Luca Sickta, Luqman Podolski, Yonnyboli, Zynakal, Bunga, Zubir Khan, dan K.O.I.
Menambah elemen kejutan, pihak penganjur turut menjanjikan kemunculan seorang artis misteri yang hanya akan didedahkan pada malam konsert, mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat dan pemerhati industri.
Menurut wakil DM Diamond Sdn. Bhd., konsert ini bertujuan menjadi platform inklusif yang membuka ruang untuk penonton menikmati kepelbagaian muzik secara menyeluruh, di samping memberi pendedahan kepada genre baharu yang mungkin belum pernah dialami secara langsung.

“Kami mahu mencipta sebuah pengalaman muzik yang melangkaui batas genre. Hype Republic bukan sekadar konsert, tetapi satu perayaan muzik yang menyatukan pelbagai aliran dalam satu malam yang epik,” kata wakil penganjur dalam kenyataan media.
DM Diamond Sdn. Bhd. merupakan syarikat pengurusan acara baharu yang menumpukan kepada penganjuran konsert dan acara hiburan premium di Malaysia. Walaupun masih bertatih dalam industri, syarikat ini diterajui oleh tenaga kerja berpengalaman dan beriltizam tinggi dalam menyampaikan pengalaman konsert bertaraf profesional.
Hype Republic merupakan langkah sulung syarikat ini dalam memperkenalkan jenama mereka secara besar-besaran kepada umum, dengan matlamat jangka panjang untuk mengangkat standard acara muzik tempatan ke peringkat antarabangsa.
Penonton yang berminat boleh mengikuti perkembangan konsert ini melalui saluran rasmi Instagram dan TikTok @dmdiamond.official untuk pengumuman terkini termasuk penjualan tiket, aktiviti promosi dan maklumat lanjut artis.