May 14, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Konsert GenKRU 2025 Catat Dua Rekod Malaysia Book of Records

Spread the love

KRU dan Icon Entertainment Diiktiraf atas Most Shows in a Single Concert Series dan Most Concert Tickets Sold Out in an Hour

Kredit Foto:  Bangsawan Pictures

Kumpulan muzik tersohor tanah air, KRU, bersama penganjur Icon Entertainment (M) Sdn Bhd mencipta sejarah tersendiri apabila Konsert GenKRU 2025 menerima dua pengiktirafan rasmi daripada Malaysia Book of Records (MBR).

Konsert yang berlangsung selama empat malam di Axiata Arena, Bukit Jalil iaitu pada 3, 4, 10 dan 11 Mei 2025 telah dianugerahkan rekod Most Shows in a Single Concert Series (Jumlah Persembahan Tertinggi Dalam Satu Siri Konsert). Pengiktirafan ini diberikan kepada KRU, trio adik-beradik yang terdiri daripada Dato’ Norman Abdul Halim, Dato’ Yusry Abdul Halim dan Edry Abdul Halim, atas kejayaan mereka mempersembahkan empat malam konsert berskala besar yang mendapat sambutan luar biasa.

Menurut Dato’ Norman yang mewakili kumpulan KRU, kejayaan ini adalah hasil sokongan padu para peminat yang telah menjadikan konsert itu berkembang daripada satu malam kepada empat malam penuh.

“Pencapaian ini bukan semata-mata untuk KRU, tetapi untuk semua peminat yang telah menyokong kami lebih tiga dekad. Tanpa mereka, Konsert GenKRU 2025 tidak akan mampu mencapai skala ini dan mencipta sejarah tersendiri,” ujar beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Icon Entertainment selaku penganjur turut mencatat satu lagi pencapaian apabila menerima pengiktirafan bagi kategori Most Concert Tickets Sold Out in an Hour (Penjualan Tiket Terpantas Dalam Tempoh Satu Jam). Sebanyak 8,000 tiket konsert terjual habis dalam masa hanya 60 minit, sekaligus membuktikan kekuatan jenama KRU dan keupayaan penganjuran pihak Icon.

Dari kanan: Kumpulan KRU (Edry, Norman, Yusry), Iman Tang dari Icon Entertainment, Yang Berusaha En. Nik Kamaruzaman Nik Husin, Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif), Kementerian Komunikasi – yang mewakili Yang Berhormat Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, menyempurnakan penyerahan sijil pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBR). Mereka turut ditemani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia Iliyas Jamil (berbaju kuning) dan Ketua Pegawai Eksekutif MBR Christopher Wong serta wakil

Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang menyifatkan kejayaan ini sebagai bukti kukuh bahawa produk hiburan tempatan masih mendapat tempat yang kukuh di hati rakyat Malaysia.

“Ini bukan sekadar pencapaian syarikat, tetapi isyarat jelas bahawa peminat muzik tanah air masih dahagakan persembahan artis tempatan berkualiti tinggi. Ia juga menyemarakkan semangat kami untuk terus menjana lebih banyak konsert tempatan yang berimpak tinggi,” kata beliau.

“Kami juga ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia, khususnya Kementerian Komunikasi, atas sokongan berterusan terhadap pembangunan seni dan industri kreatif negara,” tambahnya lagi.

Kemunculan Istimewa Feminin

Konsert GenKRU 2025 berjaya menarik lebih 30,000 penonton sepanjang empat malam penganjurannya, dan turut menampilkan penampilan istimewa artis jemputan seperti kumpulan Feminin, Elite serta Adam AF sekali gus memperkukuh status konsert tersebut sebagai antara persembahan paling bersejarah dalam industri muzik Malaysia.


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page