May 14, 2025

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Konsert “Gelombang Bahagiaku”, Simfoni Cinta Dua Generasi di Pentas KLCC Ogos Ini

Spread the love

Penyanyi bersuara unik, Atilia Haron, bakal merealisasikan impian seumur hidupnya apabila bergandingan dengan ibunya yang juga primadona seni tanah air, Salamiah Hassan, dalam “Konsert Gelombang Bahagiaku” pada 16 Ogos 2025 bertempat di Plenary Theatre, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Dianjurkan oleh Mujik Wand Production, konsert ini bukan sekadar persembahan muzik, sebaliknya sebuah simfoni kasih dua generasi, antara anak dan ibu, yang dipertemukan oleh darah, disatukan oleh cinta, dan dilestarikan oleh muzik.

“This is a dream come true for me! Sejak kecil, saya teringin menjadi seperti ibu saya. Peluang dapat berkongsi pentas yang hebat bersama beliau membuatkan saya rasa seperti gadis paling bertuah di dunia!” luah Atilia dengan penuh emosi ketika majlis sidang media yang berlangsung di KL Convention Centre pada 13 Mei lalu.

Bagi Atilia, konsert ini adalah penghormatan jiwa terhadap insan yang paling disanjungi iaitu ibunya. Ia bukan sekadar platform untuk berkongsi suara, tetapi juga ruang untuk menyatakan rasa kasih, hormat, dan penghargaan dalam bentuk yang paling tulus iaitu muzik.

“Konsert Gelombang Bahagiaku” menyatukan dua vokal yang berbeza latar dimana gaya jazzy kontemporari Atilia dan sentuhan klasik penuh elegan Salamiah. Namun perbezaan itu dilihat sebagai kekuatan.

“Saya sangat teruja. Walaupun cara nyanyian kami berbeza, saya percaya ia akan menjadi gabungan yang cukup istimewa buat para penonton,” ujar Salamiah yang turut mengakui ini merupakan pertama kali mereka berkongsi pentas dalam konsert berskala besar.

Antara momen paling dinanti ialah persembahan duet sulung mereka, “Age Is Just A Number”, sebuah lagu baharu yang membawa mesej positif tentang kehidupan, kematangan, dan keberanian untuk menjadi diri sendiri tanpa mengira usia.

“Lagu ini ialah refleksi kami berdua dimana dua wanita berdikari yang melakukan apa yang kami cintai dengan sepenuh hati. Lebih mengujakan, kami bakal membawakan lagu ini secara live buat pertama kali di konsert itu nanti,” kongsi Atilia.

Salamiah yang sinonim dengan lagu “Gelombang” menyifatkan konsert ini sebagai peluang untuk menghubungkan cinta terhadap muzik dengan darah dagingnya sendiri.

“Kami berbeza, namun cinta kami terhadap seni menyatukan kami lebih dalam,” katanya dengan penuh bangga.

Bagi Atilia, detik paling dinantikannya ialah saat mereka menyanyi sambil bertentang mata di atas pentas bagaikan satu manifestasi ikatan kasih yang tak tergambar dengan kata-kata.

Mengakui perjalanan menuju ke pentas KLCC bukan mudah, Atilia berkata, “Sudah tentu ada cabarannya, tetapi sedikit demi sedikit, kami berjaya usahakannya akhirnya. This concert had to be done. Kami buat apa yang perlu sahaja dengan sokongan rakan-rakan. Syukur Alhamdulillah, ada yang percaya dan sudi membantu.”

“Konsert Gelombang Bahagiaku” dijangka menjadi malam yang penuh kenangan, menyentuh jiwa dan mengangkat tema kekeluargaan, cinta tanpa syarat dan muzik yang merentas zaman.

“Saya harap penonton bersedia menyaksikan sesuatu yang berbeza tetapi dekat di hati,” kata Atilia. “Nantikan persembahan muzik yang bagus, dan semoga nyanyian kami menyentuh jiwa semua.”

Mimifly turut diumumkan sebagai artis pembuka tirai, memberi sokongan penuh terhadap perjalanan muzik Atilia.  Manakala Fly Halizor akan bertindak sebagai Pengarah Muzik.

Peminat boleh mendapatkan tiket “Konsert Gelombang Bahagiaku” yang  dijual pada 13 Mei 2025, antara kategori tiket yang dijuala adalah Platinum – RM350, Gold – RM250 dan Silver – RM150

Pembelian tiket boleh dilakukan di laman web ticket2u.com.my/event/43440


Spread the love

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page