Konsert ‘Gelombang Bahagiaku’ Raih Sambutan Luar Biasa
Salamiah Hassan & Atilia Haron Satukan Kasih dan Muzik di KLCC
Plenary Theatre, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) bergema dengan gelombang kasih dan harmoni apabila penyanyi terkenal Atilia Haron berkongsi pentas bersama ibunya, legenda seni suara tanah air, Salamiah Hassan, dalam Konsert Gelombang Bahagiaku. Anjuran Mujik Wand Production, konsert yang berlangsung penuh emosi itu mencatat kejayaan luar biasa apabila tiket habis terjual dan disambut meriah oleh penonton.
Bagi Atilia, konsert tersebut merupakan pencapaian peribadi yang amat bermakna.
“Sejak kecil, saya ingin menjadi seperti mama. Dapat berkongsi pentas bersamanya di hadapan penonton yang penuh… it’s surreal,” katanya terharu.
Salamiah yang kini meraikan 55 tahun dalam industri seni pula menyifatkan konsert ini sebagai detik paling berharga dalam kariernya.
“Menyanyi bersama anak saya adalah hadiah paling indah. Saya gembira, bersyukur, dan berharap kami dapat melakukan lebih banyak konsert bersama nanti,” ujarnya.
Atilia membuka tirai dengan No Fruits For Today sebelum meneruskan dengan Old Love, Rekah, medley Bodoh–Cinta Sampai Mati serta kolaborasi bersama MonoloQue dalam Kekanda Adinda. Beliau turut mempersembahkan Bahagiaku, Salah Sangka, Sangkar, Sudah dan Selagi.

Salamiah pula memukau khalayak dengan kepelbagaian genre daripada I’m So Excited, balada Surat Terakhir, medley klasik Miang Miang Keladi–Kau Dan Alasanmu–Antara Dua Kasih, hinggalah ke Frim Fram Sauce dan Kenang Daku Dalam Doamu.
Kehadiran Mimifly dengan medley Sahabat dan Angkat serta duet romantis Salamiah bersama Hardy Arbi menambah warna pada persembahan. Malam diakhiri dengan duet sulung ibu-anak Age Is Just The Number, serta persembahan istimewa Empat Dara bersama Mimifly dan Elvira Arul yang mendapat standing ovation.



Selain nyanyian penuh jiwa, konsert turut meriah dengan sambutan penonton yang hadir. Merchandise edisi khas berupa 100 helai t-shirt habis terjual pada malam tersebut.
“Seronok melihat peminat memakai baju konsert sambil bergambar dengan kami,” kata Atilia.
Sebagai ikon muzik, Salamiah sempat menitipkan kata-kata buat generasi baharu.
“Penyanyi muda sekarang hebat, buat lagu sendiri, belajar vokal. Saya sudah 55 tahun dalam industri pun masih belajar. Seni itu perjalanan tanpa henti,” ujarnya merendah diri.

Atilia pula mengakui dirinya kini bersedia untuk kembali aktif selepas memberi tumpuan kepada perniagaan yoga.
“Tahun depan saya mahu buat lebih banyak persembahan. Malam ini membuktikan muzik dan kasih sayang keluarga adalah kombinasi yang tidak ternilai,” katanya.
Konsert Gelombang Bahagiaku bukan sekadar persembahan, tetapi sebuah perayaan kasih sayang, warisan dan muzik yang merentas generasi — menyatukan ibu dan anak, artis legenda dan bintang masa kini, dalam satu malam yang akan dikenang lama oleh peminat muzik tanah air.
