Konsert Fenomena Samurai Sasar 20,000 Peminat

Penganjur Konsert Fenomena Samurai menyasarkan kehadiran seramai 20,000 peminat apabila dua nama besar rock tanah air, Search dan XPDC, bergabung dalam sebuah persembahan bersejarah yang bakal berlangsung di Stadium Sarawak, Kuching pada 13 Disember 2025.
Sidang media pengumuman rasmi konsert itu berlangsung di Riverside Astana Wing Sky Lounge semalam, dengan penganjur bersama Seri Simfoni Sdn Bhd dan Bintang Batu Event menegaskan bahawa konsert ini bukan sekadar hiburan biasa. Mereka menyifatkannya sebagai sebuah projek seni yang dirancang rapi demi menjaga kredibiliti Search dan XPDC yang telah mewarnai industri muzik tempatan sejak era 80-an.
Turut hadir menyaksikan pengumuman tersebut ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, yang menyatakan sokongan penuh terhadap usaha membawa konsert berskala besar ke Sarawak sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh industri pelancongan dan hiburan negeri.

Ikhram atau Atom dari Seri Simfoni berkata kedua-dua kumpulan ini adalah gergasi muzik tanah air yang kekal relevan sehingga kini, malah kelompok peminat mereka sudah merentas generasi. Justeru, aspek kualiti bunyi, pemilihan lagu dan keseluruhan persembahan akan diberi piawaian tinggi bagi memastikan konsert ini meninggalkan impak besar buat peminat.
Search dalam pada itu mengesahkan konsert kali ini akan menampilkan gimik baharu serta susunan lagu khas yang berbeza daripada Konsert Fenomena 30 Tahun pada 2011, bagi memberikan pengalaman segar dan tidak dapat dilupakan. XPDC pula berjanji untuk menghadiahkan persembahan penuh tenaga dan menghiburkan, dengan kehadiran vokalis mereka Ali XPDC yang turut disahkan akan berada di pentas. Mengimbau kembali sambutan hebat di Bahu Sarawak semasa konsert Rock in the Jungle dua tahun lalu, kumpulan itu berharap dapat mengulangi kejayaan yang sama di Kuching.
Bagi Din dari Search, Konsert Fenomena Samurai bukan sekadar persembahan untuk memuaskan telinga peminat dengan lagu-lagu popular, sebaliknya ia sarat dengan nostalgia dan penghargaan terhadap penyokong yang sentiasa bersama mereka sepanjang perjalanan yang penuh suka duka. Katanya, mereka percaya penonton yang hadir sudah sebati dengan sepak terajang serta perjuangan kedua-dua kumpulan ini dalam dunia muzik.

Jualan tiket konsert bermula pada 5 September 2025, jam 10 pagi menerusi laman sesawang ubertickets.asia dengan tawaran harga early bird sehingga 30 peratus. Tiket ditawarkan pada harga RM250 bagi kategori VIP, RM188 untuk MOSH, RM104 untuk Free Standing, RM160 untuk Silver dan RM90 bagi Bronze. Selepas tempoh promosi berakhir, harga tiket akan dijual pada kadar biasa iaitu RM359 (VIP), RM269 (MOSH), RM149 (Free Standing), RM229 (Silver) dan RM129 (Bronze).
Selain diskaun, promosi khas di media sosial rasmi konsert turut memberi peluang kepada peminat memenangi tiket percuma melalui senarai hajat, selain hadiah-hadiah istimewa yang akan ditawarkan menerusi cabutan bertuah.
Konsert ini turut mendapat sokongan strategik daripada Kementerian Pelancongan Negeri Sarawak, Rampage Studio, uberticket.asia, Kamek Kampung Production dan Persatuan Anak Seni Sarawak, dengan penaja termasuk Top G Coffee and Cafe, Sovo, Eddie Photographer, Sultan Bilis, Sky Lounge Riverside Majestic, Plaza Merdeka, Aeon Mall Kuching Central dan Hiohaastudio Musik.
Dengan gabungan legasi Search yang sinonim dengan “Fenomena” dan XPDC dengan lambang “Samurai”, Konsert Fenomena Samurai dijangka menjadi acara kemuncak hiburan di Sarawak pada hujung tahun ini, sekaligus mencipta sebuah gelombang rock yang epik untuk dikenang peminat dari seluruh negara.
